fbpx
Rafizi (tengah) ketika menghadiri sesi ceramah Parti Bersama yang dihadiri hampir 400 orang di Ipoh malam tadi.

75 peratus ahli Bersama tiada kaitan dengan PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan bahawa 75 peratus daripada lebih 20,000 keanggotaan parti itu tidak mempunyai kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab tohmahan kononnya Bersama yang dilancarkan pada 17 Mei lalu merupakan sekumpulan ahli PKR yang ‘merajuk’.

“Sampai sekarang yang mengkritik Bersama ini ada dua tiga serangan sahaja. Satu dia kata ini parti orang merajuk. Dia tidak sedar sebenarnya 75 peratus daripada ahli Bersama ini tidak pernah kena-mengena dengan PKR,” katanya dalam ceramah di sini malam tadi.

Dakwanya kebanyakan parti politik utama negara lebih didominasi oleh golongan tua yang menyukarkan kelompok muda untuk mendapat tempat.

Rafizi membayangkan keadaan buruk jika kepimpinan negara kekal dipegang oleh mereka yang berumur lanjut dan tidak memahami keperluan generasi lebih muda.

Baginya, keadaan itu memaksa ‘kamikaze’ dilakukan dan pendekatan itu bukan asing buat beliau yang pernah melawan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum 2018.

“Kalau fikir tentang diri sendiri saya sahaja, saya pergi jumpa Najib. Anwar Ibrahim pun duduk dalam penjara (ketika itu).

“Kalau fikir pasal diri saya dan tidak kamikaze, tidaklah saya berkempen satu Malaysia untuk mengalahkan UMNO, BN dan Najib. Bukankah lebih mudah kalau saya lebih awal pergi jumpa Najib, kita ‘kawtim’ jangan sentuh 1MDB? Tetapi saya kamikaze (lawan) dari dahulu,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, beliau berkata Bersama akan menyusun strategi dan membuat pengumuman apabila tiba masa sesuai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN