PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja bernilai lebih RM1.69 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
AKPS dalam kenyataan berkata, rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan bagasi daftar masuk di In-Line Baggage Screening (ILB) FS-1 .
Menurut kenyataan itu, kejayaan berkenaan hasil tindakan bersepadu dan kerjasama antara AKPS KLIA dengan Aviation Security (AVSEC) dalam memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan.
“Hasil pemeriksaan terperinci menemukan 39 bungkusan disyaki bunga ganja (Cannabis Flower) seberat 21.14 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM1,691,200.
“Dadah berkenaan dianggarkan mampu menampung penggunaan seramai 70,333 individu pada satu-satu masa,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang akhbar berasingan pagi tadi berkata, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun telah ditahan berhubung kes sama.
“Kami difahamkan, suspek disyaki cuba menyeludup dadah berkenaan ke luar negara melalui penerbangan antarabangsa.
“Kes ini melibatkan cubaan penyeludupan keluar negara (outbound) dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-KOSMO! ONLINE














