JOHOR BAHRU – PKR mendakwa kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dilihat bukan sahaja mampu menjadi pencabar buat parti itu malah kepada semua parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, PKR bersama gabungan parti politik dalam Pakatan Harapan (PH) bersiap sedia berdepan dengan mana-mana lawan pada PRN Johor.
Beliau berkata, menjadi kelaziman dalam amalan demokrasi di negara ini yang membenarkan mana-mana parti untuk mengambil bahagian dan bertanding dalam pilihan raya.
“Jadi, kita mengambil sebagai satu pendekatan terbuka dengan mengalu-alukan semua parti yang berhasrat untuk bertanding, kalau bukan Bersama pun, ada parti-parti lain akan bertanding.
“Apabila ada parti baru muncul, memang dia akan mengganggu gugat kepada status quo. Jadi, ia bukan saja memberi kesan kepada PKR, tetapi juga kepada semua parti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Bangunan Tambahan Baru Kimia Johor, di sini hari ini.
Pada 17 Mei lalu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Najmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengambil alih Bersama.
Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa itu mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen.
Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party didaftarkan pada 2016 di Pulau Pinang.
Ditanya mengenai kewajaran PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan diadakan secara serentak, Ahli Parlimen Tanjong Malim itu berkata, ia bergantung kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Sebenarnya, Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan telah pun dibubarkan, dan apa yang berlaku sekarang adalah isu dalaman istana. Jadi, kita tidak campurlah.
“Sebagai ahli politik, memang kita lihat negeri sudah pun bubar, maka kita akan beri tumpuan untuk menghadapi PRN,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














