PASUKAN sepak takraw negara mengakui kejayaan menjulang gelaran juara dalam acara regu berpasukan pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 masih meninggalkan rasa kurang puas hati susulan kemenangan diperoleh dalam situasi kontroversi ketika aksi final menentang Thailand di Stadium Titiwangsa, malam kelmarin.
Jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, tindakan Thailand menarik diri ketika perlawanan masih berlangsung adalah sesuatu yang merugikan kerana kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang untuk memburu kemenangan.
Menurutnya, keputusan pengadil perlu dihormati dan kegagalan Thailand kembali ke gelanggang selepas diberikan masa mencerminkan pilihan yang dibuat sendiri oleh pasukan itu.
“Kita kena akur bahawa keputusan pengadil adalah muktamad. Pasukan Thailand telah melakukan kesilapan dan pengadil telah memberikan masa untuk mereka kembali ke gelanggang.

“Mereka melakukan protes untuk tidak meneruskan perlawanan dan kita tidak boleh buat apa-apa, itu adalah keputusan mereka sendiri.
“Bagi saya secara peribadi, kita tidak berpuas hati dengan kemenangan sebegini. Namun, sudah rezeki pasukan kita untuk mencipta kejayaan dalam situasi seperti ini, kita terima keputusan dan perlu meraikannya.
“Apa yang pasukan Thailand lakukan itu satu kerugian kepada mereka. Pemain sudah berusaha bersungguh-sungguh, berlatih keras dan menunjukkan semangat juang tinggi. Kita sudah berikan yang terbaik apabila muncul juara kuadran dan acara berpasukan,” katanya.
Kontroversi tercetus ketika Thailand mendahului 14-13 pada set kedua regu ketiga apabila pasukan itu mempersoalkan keputusan pengadil sebelum bertindak enggan meneruskan permainan.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia diumumkan sebagai juara sekali gus menamatkan kempen cemerlang skuad negara di laman sendiri.
Sementara itu, pengurus pasukan negara, Datuk Abu Jimi Samat turut mempertahankan tindakan pengadil dari Singapura, Radhi Che Mei yang disifatkan telah menjalankan tugas dengan adil mengikut peraturan.
“Saya difahamkan pemain mereka mahu bermain tetapi jurulatih mereka bersungguh-sungguh tidak menerima keputusan pengadil. Jadi saya nasihatkan jurulatih mereka, kena belajar lagi semangat kesukanan.
“Apabila mereka tidak menamatkan permainan, maknanya mereka menyerah diri dan menyerah kalah,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menambah satu lagi pencapaian membanggakan selepas sebelum ini turut muncul juara acara kuadran pada kejohanan sama.














