fbpx
Pereka grafik sepatutnya menggunakan AI sebagai rujukan atau sumber inspirasi sebelum menghasilkan rekaan asli mereka. - GAMBAR JANAAN AI

Guna AI jangan sampai langgar hak cipta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) hari ini dilihat semakin mengubah landskap industri reka bentuk grafik apabila orang ramai boleh menghasilkan visual secara sendiri dengan lebih mudah berbanding sebelum ini.

Penggunaan teknologi itu sepatutnya dilihat dari sudut berbeza bukannya ‘pembunuh’ kerjaya pereka grafik, sebaliknya menjadi alat sokongan bagi mempercepatkan proses menghasilkan sesuatu rekaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Abdul Kahar berkata, teknologi itu membantu pereka grafik menjimatkan masa terutama dalam fasa awal pembangunan idea dan konsep.

“Ia membantu menjana sampel awal yang boleh dijadikan rujukan sebelum seseorang pereka menghasilkan idea mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut beliau, AI biasanya berfungsi berpandukan data sedia ada di dalam pangkalan data, justeru ia sukar untuk menghasilkan idea baharu tanpa ‘campur tangan’ kreativiti manusia.

“Disebabkan itu agak mustahil AI menghasilkan idea yang benar-benar baharu, jadi pereka grafik masih diperlukan untuk menghasilkan konsep unik yang belum terdapat di pasaran,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat sedikit ancaman kepada pereka grafik terutama bagi kerja-kerja asas seperti menghasilkan poster, notis atau banner yang kini boleh dijana dengan menggunakan AI.

Keadaan itu menyebabkan pereka grafik perlu menyesuaikan diri dan bergerak ke arah projek yang lebih memerlukan kreativiti dan kepakaran manusia.

Sehubungan itu, Zainal menasihatkan pereka grafik supaya beralih kepada bidang yang memerlukan kreativiti tinggi seperti reka bentuk fesyen, corak tekstil atau projek visual yang memerlukan idea asli.

Dalam masa sama, katanya, penggunaan AI boleh memberi kesan kepada nilai pasaran kerja apabila kos perkhidmatan mungkin menjadi lebih rendah berbanding sebelum ini.

Jelasnya, perkara tersebut bukan sahaja boleh berlaku kepada pereka grafik, malah turut melibatkan bidang lain seperti pengaturcaraan dan teknologi maklumat.

Zainal turut mengingatkan orang ramai tentang isu etika dan pelanggaran hak harta intelek yang sering dikaitkan dengan penggunaan AI dalam penghasilan grafik.

Katanya, banyak imej yang dijana oleh AI berpotensi melanggar hak cipta kerana model pembelajaran teknologi tersebut menggunakan data dan imej yang telah wujud sebelum ini.

“Disebabkan itu, grafik yang dihasilkan oleh AI tidak sesuai digunakan secara terus sebagai produk akhir, khususnya dalam projek komersial kerana berisiko melibatkan isu harta intelek,” katanya.

Tambah beliau, pereka grafik sepatutnya menggunakan AI sebagai rujukan atau sumber inspirasi sebelum menghasilkan rekaan asli mereka sendiri bagi mengelakkan sebarang masalah atau tindakan undang-undang pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN