fbpx

Bukan sekadar konflik perhubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBELAKANGAN ini, negara digemparkan dengan beberapa kes pembunuhan wanita yang memperlihatkan manifestasi keganasan berasaskan gender yang semakin membimbangkan.

Cara mangsa diperlakukan, daripada kekejaman, tikaman berulang kali hingga perlakuan terhadap tubuh mereka, membawa makna dan signifikan yang tidak boleh dipandang ringan.

Di Kelantan, seorang pelajar kolej berusia 19 tahun ditemui mati dengan 61 kesan tikaman.

Di Sabah pula, seorang wanita dipercayai dibunuh dan dikerat oleh bekas tunangnya selepas hubungan mereka berakhir, dengan bahagian tubuh mangsa ditemukan di beberapa lokasi di Sepanggar.

Menurut Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid, apabila seseorang wanita ditikam sehingga puluhan kali, ia bukan lagi sekadar tindakan untuk membunuh.

Katanya, kecederaan sedemikian sering mencerminkan kemarahan melampau, kebencian, obsesi, penghinaan, rasa memiliki dan keinginan untuk menguasai atau ‘menghukum’ mangsa.

“Kes mengerat tubuh badan mangsa atau dismemberment pula jarang berlaku secara rawak kerana kebiasaannya melibatkan hubungan emosi atau hubungan intim antara pelaku dan mangsa.

“Dalam keadaan itu, tubuh mangsa menjadi simbol kawalan dan dominasi walaupun selepas kematian. Apa yang sedang kita lihat sebenarnya merupakan sebahagian daripada pola femisid,” katanya.

Femisid merujuk kepada pembunuhan wanita dalam konteks misogini, kawalan, dominasi atau penolakan hubungan.

Dalam banyak kes di seluruh dunia, pelaku bukan orang asing, sebaliknya suami, bekas pasangan, teman lelaki, tunang atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.

Lebih membimbangkan, kebanyakan kes biasanya didahului tanda-tanda awal seperti ugutan, sikap mengongkong, mengendap, penderaan emosi dan keganasan domestik, namun terlalu banyak amaran dipandang ringan sehingga tragedi berlaku.

Tambahnya, masyarakat juga masih cenderung melihat isu seperti ini sebagai ‘hal rumah tangga’ atau konflik pasangan biasa.

“Mangsa pula kadangkala terperangkap kerana takut, malu, bergantung secara kewangan atau tidak yakin mereka benar-benar dilindungi.

“Hakikatnya, femisid jarang bermula dengan pembunuhan. Ia bermula dengan kawalan yang dibenarkan, ugutan yang diabaikan dan penderaan yang dianggap normal,” ujarnya.

Tegas Haezreena, Malaysia memerlukan intervensi awal yang lebih serius, perlindungan lebih berkesan terhadap wanita yang menerima ancaman, tindakan lebih tegas terhadap stalking dan coercive control, serta latihan lebih menyeluruh kepada pihak berkuasa untuk mengenal pasti risiko keganasan melampau.

“Paling penting, masyarakat mesti berhenti menganggap keganasan terhadap wanita sebagai sesuatu yang biasa.

“Kerana apabila wanita ditikam puluhan kali, dikerat, dibunuh dengan penuh kebencian oleh orang yang pernah mereka percaya dan cintai, kita tidak lagi boleh menyebutnya sekadar ‘konflik perhubungan’. Kita mesti berani menamakan realiti keadaan tersebut iaitu Femisid,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN