fbpx
Lih Kang (kanan) menandatangani plak perasmian fasiliti pusat data hiperskala hijau JH1 Fasa 4 dan Fasa 5 milik PDG baru-baru ini.

Johor teraju pusat data rendah karbon, teknologi CODE+

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai negeri hijau dan hab pembangunan digital mampan negara apabila menjadi negeri pertama melaksanakan teknologi CODE+ dalam pembangunan pusat data hiperskala.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, pertumbuhan ekonomi digital kini perlu diseimbangkan dengan komitmen terhadap pembangunan mampan dan bertanggungjawab.

Katanya, peningkatan pembinaan pusat data berskala besar di rantau ini menjadikan pelepasan karbon daripada sektor pembinaan sebagai cabaran utama.

“Pelepasan karbon daripada aktiviti pembinaan boleh menyumbang sehingga 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon sepanjang kitar hayat infrastruktur.

“Selain karbon, pusat data hiperskala turut berdepan cabaran berkaitan pengurusan haba, kecekapan tenaga dan air, ketahanan struktur terhadap gegaran serta risiko kualiti udara dan kebakaran sepanjang hayat bangunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Li Kang berkata, teknologi CODE+ yang mendapat sokongan kerajaan mampu menangani cabaran tersebut menerusi ciri bahan termaju yang membantu memanjangkan jangka hayat operasi pusat data selain mengurangkan kos jangka panjang dan impak alam sekitar.

“Kerjasama antara Princeton Digital Group (PDG) dan IDC Global Holdings Sdn. Bhd. (IDC)
bukan pada peringkat penyelidikan atau projek rintis, sebaliknya inovasi Malaysia kini sudah dilaksanakan dalam pusat data hiperskala dengan kesan pengurangan karbon boleh diukur.

“Inovasi tempatan itu juga berpotensi dieksport ke peringkat serantau dan diperluaskan penggunaannya kepada sektor pengangkutan, pembangunan bandar serta fasiliti industri,” katanya.

Pelaksanaan teknologi itu diumumkan sempena pelancaran Pusat Kecemerlangan (COE) oleh PDG yang turut menyaksikan perasmian fasiliti pusat data hiperskala JH1 Fasa 4 dan Fasa 5 milik serta pemeteraian kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan industri.

Acara itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PDG dan IDC bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan penyelesaian rendah karbon untuk sektor pusat data dan pembinaan infrastruktur di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN