“IDEA kepada pembangunan teknologi dron pemintas atau antidron Counter Unmanned Aerial System yang dinamakan Rocket Assisted Interceptor Drone (Raid) ini tercetus apabila berlakunya konflik peperangan di antara Ukraine-Rusia dan yang terkini konflik di Asia Barat.
“Peperangan tersebut memperlihatkan dron kamikaze yang berkos rendah digunakan untuk memusnahkan sasaran penting.
“Pembangunan sistem yang berkos rendah seperti Raid ini amat sesuai untuk kerja-kerja pemintas seperti ini.”
Itu penerangan pakar bidang pemindahan haba, pembakaran dan dinamik bendalir berkomputer (CFD) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Dr. Rizalman Mamat.
Penyelidikan dan inovasi ini dilaksanakan di bawah Centre for Advanced Mobility and Aerospace sejak tahun 2023 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada Januari lalu.
Raid merupakan satu sistem hibrid pertama di Malaysia yang menggabungkan keupayaan dron dan pelancaran roket serta berpotensi besar dalam memperkukuh sistem pertahanan negara.
Raid dibangunkan sebagai solusi respons pantas terhadap ancaman dron yang semakin meningkat dalam sektor keselamatan, pertahanan dan perlindungan infrastruktur kritikal.
Menurut Rizalman, Raid direka sebagai dron pemintas berprestasi tinggi yang mampu beroperasi dalam persekitaran kompleks dengan ciri-ciri khas.
“Dengan sistem pelancaran roket bersepadu, Raid dilengkapi modul roket yang boleh dilancarkan pada ketinggian hingga dua kilometer.
“Inovasi ini juga membolehkan pemintasan sasaran udara dari jarak jauh dengan masa tindak balas yang pantas,” katanya kepada K-Kampus.

Selain itu, dengan ketahanan udara sehingga 30 minit, dron ini mampu berada di udara dengan memberikan masa rondaan yang mencukupi untuk pengawasan dan pengesanan sasaran sebelum pemintasan dilakukan.
Jelasnya, sistem ini mampu menangani acaman baharu dengan konsep dron yang murah dan mudah dilancarkan.
Ia dapat mengurangkan risiko pencerobohan ruang udara, penyeludupan serta ancaman keselamatan di kawasan sensitif seperti di lapangan terbang, pangkalan tentera, kemudahan tenaga dan industri serta acara berskala besar.
Raid dilihat sebagai platform yang mampu memberikan perlindungan aktif melalui pemintasan fizikal, berbanding kaedah gangguan isyarat semata-mata.
“Teknologi Raid ini sebenarnya berpotensi digunakan dalam pelbagai sektor antaranya pertahanan dan keselamatan negara, kawalan sempadan, perlindungan bandar pintar dan keselamatan acara antarabangsa.
“Raid menandakan langkah penting ke arah sistem pertahanan udara yang lebih responsif, mudah alih dan kos efektif.
“Gabungan dron dan roket dalam satu platform membuka dimensi baharu kepada operasi pemintasan dron, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi ancaman moden di ruang udara,” katanya.
Berkongsi lanjut, teknologi baharu yang dibangunkan 11 penyelidik lain itu yang turut dibantu tiga pelajar UMPSA bakal melalui pembangunan lanjut.
Ia dijangka akan memberi tumpuan kepada peningkatan jarak operasi, integrasi rangkaian kawalan berpusat serta kemampuan operasi berkumpulan (swarm interception).
“Dalam situasi semasa, sistem pemintas seperti peluru berpandu Surface to Air Missile (Sam) digunakan untuk menangkis ancaman ini, namun kosnya sangat tinggi.
“Justeru Raid dibangunkan sebagai alternatif yang lebih ekonomik tetapi berkesan untuk menangani ancaman dron,” katanya.

Jelasnya, Raid menggabungkan teknologi propulsi roket dan dron pemintas yang dikendalikan menggunakan sistem First Person View (FPV).
Sistem tersebut membolehkan operator mengawal dron secara langsung ke arah sasaran dengan lebih tepat dan pantas.
Menariknya, penggunaan motor roket memberikan kelebihan dari segi kelajuan dan masa penerbangan, sekali gus meningkatkan keupayaan sistem untuk bertindak balas terhadap ancaman dalam tempoh yang singkat.
“Selepas kedudukan sasaran dikenal pasti, motor roket akan diaktifkan untuk membawa sistem ke altitud tertentu sebelum dron dilepaskan melalui sistem pelontar.
“Dron kemudiannya akan dikawal terus ke sasaran menggunakan FPV,” katanya.
Tambah Rizalman, selain fungsi memintas dron musuh, Raid juga berpotensi digunakan untuk menangani sasaran udara berkelajuan rendah seperti pesawat ringan dan helikopter yang terbang pada altitud rendah.
Dari segi perancangan dan perluasan fungsi, Raid boleh ditingkatkan dengan kemampuan autonomi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan sasaran tanpa perlu menggunakan operator manusia.
Ia juga menjadi harapan besar barisan penyelidik agar Raid dapat terus diperluaskan penggunaannya dan digunakan pihak Angkatan Tentera Malaysia kelak.
Menyambut baik idea dan teknologi Raid ialah Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts Dr. Yatimah Alias.
Menerusi sokongan dan galakan berterusan terutama dalam memperkasa bidang aeroangkasa negara, sebuah majlis memterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lestari Aero Industries Sdn. Bhd. (LAISB) telah dijalinkan.
LAISB merupakan sebuah syarikat tempatan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan teknologi tinggi dalam menghasilkan inovasi produk berkaitan kejuruteraan aeroangkasa.
Ia dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAISB, Prof. Adjung Ahmad Joahari Abu Bakar bersempena Pameran Defence Services Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Yatimah, sebagai universiti teknikal terbaik di negara ini, UMPSA mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh bidang aeroangkasa melalui pemeteraian MoU LAISB bagi memberi tumpuan terhadap pembangunan teknologi tinggi dalam menghasilkan inovasi produk berkaitan kejuruteraan aeroangkasa.
“Bidang aeroangkasa kini menjadi fokus strategik bagi banyak negara kerana ia memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan teknologi, menyokong keselamatan, memantau alam sekitar serta membuka peluang ekonomi dan kerjaya berkemahiran tinggi.
“Kolaborasi ini sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang aeroangkasa dan pembangunan bakat industri penerbangan melibatkan pembangunan satelit dan dron hingga penyelidikan roket serta sistem udara tanpa pemandu.
“Sektor ini dilihat menjadi tulang belakang inovasi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat dan pembangunan negara,” katanya.
Tambahnya, kerjasama tersebut membuka ruang kepada pengenalpastian bidang kolaborasi berimpak tinggi.
Antara perancangan utama hasil kerjasama itu termasuk penawaran program latihan yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Selain itu ujar Yatimah, peluang kerjasama itu turut mengukuhkan peranan Pusat Mobiliti dan Aeroangkasa Termaju UMPSA sebagai platform nasional pembangunan kemahiran, inovasi dan penyelidikan gunaan.
Ia adalah langkah signifikan dalam memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi universiti dalam bidang teknologi angkasa.
“Menerusi kerjasama strategik ini, ia akan memperluas kemampuan penyelidikan UMPSA dalam bidang aeroangkasa dan seterusnya menyokong agenda nasional untuk membina keupayaan teknologi roket tempatan.
“Manfaat utama kerjasama ini adalah kepada pelajar, penyelidik, ahli akademik dan rakan industri yang bakal menikmati pengalaman pembelajaran serta penyelidikan yang lebih dekat dengan keperluan sebenar industri.
“UMPSA amat menghargai kepercayaan yang diberikan pihak LAISB dan yakin kerjasama ini akan terus berkembang demi manfaat institusi, industri serta masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, UMPSA komited untuk memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan Pahang Aerospace City sebagai hab serantau pertama yang menggabungkan penerbangan, aeroangkasa, angkasa lepas serta teknologi digital masa hadapan.
Menerusi kerjasama projek penyelidikan berimpak tinggi ini, UMPSA yakin dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan sektor aeroangkasa negara dan membuka peluang besar kepada pelajar, penyelidik dan rakan industri dalam bidang teknologi roket.
Bagi seorang pelajar yang turut terlibat dalam projek invosi Raid, Akmal Hakimi Ahmad Mukhlis memberitahu dia teruja menjadi salah seorang siswa yang terlibat dalam projek berimpak tinggi tersebut.
Katanya yang merupakan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, dia meluahkan hasrat dan minatnya kepada dunia dron kepada Dr. Rizalman sekali gus mendaftarkan diri dalam kelab.
“Dari situ saya mula develop (bangunkan dron) sambil dibimbing ketua dan barisan penyelidik lain sampailah ia siap sepenuhnya Januari baru-baru ini,” katanya.














