PETALING JAYA – Keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) selepas terlibat dalam satu kemalangan merayu orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka supaya tampil memberikan maklumat.
Kakak mangsa yang dikenali sebagai Sue Izam, 28, berkata, ibunya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menggunakan telefon bimbit milik adiknya, Hafiz Izam, 24, untuk memaklumkan kejadian tersebut yang berlaku kira-kira 12.30 tengah malam semalam.
“Saya baru balik kerja sekitar pukul 12 lebih sebelum mak telefon beritahu adik saya kemalangan dan terbaring di Kesas.
“Mak saya dapat panggilan daripada orang awam yang guna telefon adik saya. Dia beritahu bateri telefon tinggal dua bar sahaja dan terus hantar lokasi serta minta mak pergi ke situ kerana anaknya tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sue berkata, keluarganya mahu mendapatkan kepastian daripada saksi bagaimana keadaan semasa adiknya ditemui dalam kemalangan itu dan bagaimana telefon bimbit tersebut boleh digunakan sedangkan dilindungi sistem keselamatan.
“Menurut pihak polis kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain. Kami sekeluarga belum pergi ke balai untuk membuat laporan dan mendengar penjelasan lanjut kerana semua masih dalam keadaan terkejut.
“Sebaik terima panggilan itu, adik saya yang bongsu terus ke tempat kejadian dan menghubungi saya memaklumkan memang adik saya sudah meninggal dunia,” katanya.
Katanya, pihak keluarga berharap orang awam yang melalui kawasan berkenaan atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dapat tampil membantu menjelaskan kejadian sebenar.
“Saya cuma nak tahu keadaan adik saya ketika kemalangan berlaku. Sama ada dia sempat minta orang hubungi ibu kami atau bagaimana situasinya ketika itu.
“Kalau ada rakaman dashcam atau CCTV (Televisyen litar tertutup) di kawasan itu, sekurang-kurangnya kami boleh tahu dari arah mana dia datang dan bagaimana kemalangan itu berlaku,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal dan keputusan bedah siasat, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. – KOSMO! ONLINE














