PUTRAJAYA- Kerajaan akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan semua rakyat Malaysia di Timur Tengah termasuk yang terkandas ekoran pembatalan penerbangan secara mengejut kekal menjadi keutamaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, susulan itu, Kementerian Luar (KLN) akan mengeluarkan kenyataan mengenai beberapa tindakan yang akan diambil dalam tempoh terdekat.
“Kementerian Luar memberi beberapa maklumat dan maklum balas terkini mengenai situasi khusus berkait rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Timur Tengah, khusus di sekitar kawasan Teluk.
“Kementerian Luar, Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan susulan mengenai beberapa tindakan yang akan diambil,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Semalam, KLN memaklumkan kira-kira 29,000 rakyat Malaysia yang kini berada di Timur Tengah dilaporkan terjejas susulan penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan secara mengejut, khususnya di hab transit global utama seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam konteks ini, sekitar 8,500 rakyat Malaysia berada di UAE termasuk mereka yang bermastautin serta sedang transit atau terkandas akibat gangguan penerbangan ketika ini.
Daripada jumlah itu, kira-kira 5,900 individu telah mendaftarkan keberadaan mereka secara rasmi dengan Perwakilan Malaysia dan jumlah itu dijangka berubah dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE














