Dalam satu trip memancing di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini, saya bersama beberapa rakan berpeluang merasai sendiri kehebatan ikan talang yang sering menjadi buruan jigger.
Kerinduan terhadap sambaran padu ikan ini membawa kami menghubungi Pak Tam atau dikenali di Facebook sebagai Pak Tam Tqc, seorang tekong berpengalaman di Port Dickson.
Persiapan rapi dilakukan terutamanya menyediakan jig berprofil panjang yang sesuai untuk teknik fast jigging nanti.
Hanyutan pertama
Kami tiba di jeti Admiral Marina & Leisure Club seawal pukul 7 pagi seperti yang disarankan oleh tekong bagi mengejar ‘air talang’ sekitar pukul 8.30 pagi.
Kemudahan di jeti tersebut amat memudahkan urusan pemancing, termasuk kawasan parkir yang luas dan akses mudah.
Kami bersiap ke jeti dan bot terus bergerak menuju ke lubuk pertama dalam jarak 5-8 kilometer (km) dari darat.
Setibanya di lokasi, saya menjenguk sonar yang menunjukkan kedalaman air pada skrin 35 meter. Arus pula ketika itu bergerak laju kerana menuju surut.
Jig Heartcore Angler berprofil kurus dan panjang seberat 90 gram (g) diturunkan sebaik sahaja bot mula berhanyut.
Tidak sampai 20 meter tali dilepaskan, seekor ikan talang membaham jig dengan cukup ganas. Pecutan ikan ini membuatkan drag kekili Stradic C5000XG menjerit nyaring.
Tidak lama kemudian ikan talang pertama itu dapat didaratkan.
Betul-betul bot sedang berhanyut di atas ‘kampung’ ikan talang kerana semua yang menurunkan jig ketika itu kena ikan.
Dalam masa 20 minit sahaja, 10 ekor talang baya-baya satu hingga dua kilogram dapat kami naikkan.
Pada saya, fenomena ini sangat unik kerana ikan sasaran kami sangat-sangat aktif memburu makanannya, walaupun langsung tidak kelihatan sebarang aktiviti boiling di permukaan air.
Apabila digenggam jig terasa sejuk, mungkin gerombolan ikan talang membedal ikan-ikan kecil di perimeter pertengahan air, bukan di permukaan air seperti kebiasaannya.
Ini merupakan sesi permulaan jigging yang amat baik.

Dalam keriuhan tadi, bot telah melepasi ‘kampung’ talang. Kami berpatah balik untuk sesi seterusnya di tempat sama.
Hanyutan kedua kami diteruskan dengan hentaman-hentaman ikan lagi.
Ikan talang di ‘kampung’ ini seolah-olah kelaparan dengan membaham jig tanpa henti.
Kaedah mengarau jig laju dengan ada beberapa hentian sebentar ternyata sangat efektif untuk ‘membakar’ nafsu ikan talang.
Pada pemerhatian saya, ikan ini sangat aktif saat matahari mula muncul semasa suhu sekitar 27-28 darjah Celsius dan air laut pula dalam keadaan sejuk.
Kami berterusan diserang ikan talang sehingga pukul 10 pagi, sememangnya ia masa ‘air talang’ yang tepat seperti dikatakan oleh tekong sebelum ini.
Semua tangkapan ikan tadi berlaku dalam lapan kali hanyutan bot di atas ‘kampung’ yang sama.
Pada saat itu, tong simpanan ikan sudah dipenuhi dengan ikan talang.
Sesi apollo
Kami berasa amat berpuas hati dengan hasil fast jigging, namun kelibat ikan tenggiri langsung tidak kelihatan, mungkin belum rezeki kami untuk mendaratkannya.
Spesies ikan bergigi bak pisau cukur tersebut juga hanyalah tangkapan bonus jika ia hadir di dalam gerombolan ikan talang tadi.
Daripada jigging, kami bertukar kepada mengunjun apollo pula untuk memburu spesies ikan lain seperti sagai dan ikan cermin.
Apollo yang digunakan saiz 16 dengan profil fish skin (kertas putih) pada mata kail, kerana itu paling sesuai untuk ikan target.
Agak mencabar juga untuk mendapatkan ikan cermin dan sagai dengan apollo kerana beberapa kali hanyutan bot, ikan talang masih membedal apollo yang dimainkan.
Beberapa kali bertukar lokasi, akhirnya kami berjaya juga menemukan ‘meja makan’ ikan cermin dan mendaratkan lebih 20 ekor ikan ini.
Kecemasan
Trip terpaksa ditamatkan lebih awal pada pukul 2.30 petang apabila Pak Tam menerima berita kecemasan mengenai isterinya yang dikejarkan ke hospital.
Walaupun masa memancing tidak penuh, tetapi hasil tangkapan yang diperoleh amat memuaskan.Ekspedisi ini bukan sahaja memberikan pengalaman memancing yang
luar biasa, malah mengingatkan kami tentang keindahan dan kekayaan sumber laut negara.
Hal-hal kecemasan wajib dipersegerakan kerana aktiviti memancing sentiasa boleh dipenuhi di lain waktu dan ketika.














