Biasanya, Aril bersama beberapa rakannya yang juga kaki pancing akan berkumpul di tebing Sungai Muda di Padang Serai, Kedah seawal pukul 8 pagi.
Masing-masing akan membawa bot sendiri yang ditinggalkan di tebing sungai berkenaan.
Jika kebanyakan pemancing memilih memancing pelbagai spesies ikan seperti baung dan siakap, sebaliknya Aril mempunyai sasaran berbeza.
Menurutnya, ramai pemancing tidak sedar bahawa Sungai Muda dihuni udang galah bersaiz kasar atau ramai pemancing memanggilnya sebagai ‘jenggo’ dengan rekod terbesar pernah dicatatkannya adalah 475 gram (g) seekor.
Aktiviti memancing jenggo di sini tidak bermusim, bila-bila masa boleh turun, dan selalunya ada sahaja hasil yang tidak mengecewakan.
Menceritakan pengalamannya memancing jenggo di Sungai Muda, Aril memaklumkan, dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong, dan pada trip terbaharunya, dia berjaya mendaratkan hampir dua kilogram udang galah.
“Kebanyakan udang galah di sini besar-besar iaitu 400g ke atas.”
“Agak jarang kita dengar udang galah bersaiz itu berjaya dinaikkan dengan teknik memancing.
“Selalunya, udang galah bersaiz besar ditangkap oleh penduduk setempat dengan menjala atau menjaring.
“Udang galah bersaiz mega seperti ini, biasa kita dengar dinaikkan di Paloh Hinai, Pekan, Pahang dan di beberapa tempat lain di Sarawak.
“Jadi, kami pemancing di Utara ini sangat bersyukur masih ada lagi udang galah bersaiz ‘gabak’ di sini, walaupun bilangannya semakin berkurangan,” tambahnya.
Sebagai seorang pemancing tegar udang galah, nikmat sebenar sudah pastilah apabila mendapat udang galah berstatus jenggo kerana isinya sudah tentulah lebih banyak berbanding dengan yang bersaiz biasa.
Selain itu, memancing udang galah ini seronoknya adalah semasa ia menggetu umpan kerana sangat unik berbanding ikan.

Semasa karauan dibuat, joran yang halus akan melendut-lendut kerana udang galah akan menyentak-nyentak dirinya untuk melepaskan diri dari mata kail.
Sama seperti kebiasaan di tempat lain, joran ultra light berkekuatan 1-3 atau 2-6 paun (lb) dengan panjang antara empat hingga enam kaki banyak digunakan pemancing tempatan.
Ia dipadankan dengan kekili spinning saiz 500 hingga 1000 yang diisi tali utama 8-10lb dan perambut dengan 8-10lb menjadi pilihan pemancing di sini.
Panjang perambut sejengkal sahaja dan batu ladung hidup antara saiz 2 hingga 6 bergantung keadaan arus.
Bagi Aril, dia lebih gemar menggunakan mata kail halus dengan bukaan mulut yang luas seperti jenama Ninja Maut V2.
Jenis umpan seperti perumpun dan udang beras sering digunakan oleh pemancing udang galah di sini.
Namun, Aril ada umpan istimewa iaitu isi ikan kembung dilumur dengan garam halus dan minyak perisa udang yang dibiarkan semalaman di dalam peti sejuk.
Kadangkala, dia juga guna umpan usus ayam sebagai alternatif.
Teknik hanyut
Aril juga memberitahu, jika arus laju, teknik hanyut boleh digunakan dengan melepaskan tali utama sehingga umpan masuk ke dalam lubuk.
Udang galah biasanya berada dalam kawasan berstruktur seperti reba-reba kayu di dalam sungai.
Lagi ‘tebal’ struktur di dalam sungai, maka lebih banyaklah udang galah berkumpul di situ. Tetapi untuk membawanya naik agak mencabar dan perlukan kesabaran.
Jika arus sungai sangat perlahan, umpan tidak perlu dihanyutkan, memadai melepaskan ia ke dasar dari atas bot. Andai tiada getuan selepas 15 minit umpan dilabuhkan, pemancing perlu periksa sama ada umpan masih ada ataupun tidak.
Jika umpan masih ada tetapi tiada kesan langsung digigit udang, maka boleh beralih ke lokasi lain.
Memancing udang galah perlu rajin berpindah lubuk, bukannya menunggu di kawasan yang sama berjam-jam.
Kebiasaannya, waktu udang aktif adalah ketika air mula bergerak naik pasang atau turun surut dengan keadaan arus yang sederhana laju.
Ketika air mati pula, udang selalunya menjadi tidak aktif dan hanya duduk pegun di dalam rebanya sahaja.
Sebagai seorang pencinta rasa unik udang galah, Aril akan membawa balik udang galah untuk hidangan keluarga di rumah. Dia turut berkongsi salah satu resipi kegemarannya bersama pembaca Gewang.















