fbpx
HAKIM Danish kini lebih bersemangat untuk menghadapi perlumbaan Grand Prix Catalunya, pada hujung minggu ini. -ZKRACING

Le Mans ‘ajar’ Hakim Danish jadi lebih matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN getir mengharungi perlumbaan dalam keadaan hujan di Grand Prix (GP) Perancis minggu lalu kini menjadi pembakar semangat buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk tampil lebih matang menjelang aksi GP Catalunya hujung minggu ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mengakui perlumbaan di Le Mans banyak mengajarnya kepentingan mengawal risiko, terutama ketika keadaan litar terlalu licin dan sukar dijangka.

Meskipun hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, Hakim Danish tetap membawa pulang enam mata berharga selepas hampir separuh pelumba lain gagal menamatkan saingan akibat terjatuh dalam perlumbaan penuh dramatik tersebut.

“Le Mans banyak mengajar saya tentang bagaimana untuk kekal tenang ketika keadaan sangat sukar. Kadang-kadang dalam perlumbaan, bukan pelumba paling laju yang menang, tetapi pelumba yang paling bijak mengawal risiko.

“Saya kecewa kerana kami sebenarnya memiliki kelajuan yang sangat baik sepanjang hujung minggu, tetapi setup ketika hujan tidak begitu menjadi,” katanya.

Sebelum perlumbaan utama berlangsung, pelumba kelahiran Terengganu itu sebenarnya tampil cukup kompetitif apabila berjaya menempah slot ke sesi Kelayakan 2 (Q2) hasil aksi konsisten sepanjang sesi latihan bebas di Litar Le Mans.

Bagaimanapun, perubahan cuaca secara mendadak sebelum perlumbaan bermula memaksa pasukan melakukan pelarasan jentera tanpa sebarang data lengkap dalam keadaan basah sekali gus menjejaskan keyakinannya untuk mengekalkan rentak agresif.

Hakim Danish bagaimanapun memilih pendekatan lebih selamat demi memastikan dia mampu menamatkan perlumbaan dan mengutip mata penting berbanding mengambil risiko besar yang mungkin mengundang kemalangan.

“Saya tetap bersyukur dapat membawa pulang mata ketika ramai pelumba lain gagal menamatkan perlumbaan. Sekarang fokus saya hanya satu iaitu perlumbaan Catalunya.

“Saya mempunyai kenangan yang cukup baik di sana dan itu memberi keyakinan tambahan kepada saya. Saya mahu tampil dengan aksi lebih kemas dan jika semuanya berjalan lancar, saya percaya kami mampu bersaing lebih dekat dengan kelompok hadapan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN