PETALING JAYA – Yayasan Ar Riduwan (YAR) telah menghulurkan sumbangan berupa 30 kerusi roda kepada Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, Johor.
Ketua Pegawai Operasi YAR, Luqmanul Hakim Muhamad Riduwan berkata, sumbangan keseluruhan yang berjumlah RM30,000 itu merupakan kali keempat disalurkan yayasan itu kepada HTSMTI selepas fasa pertama bermula sejak Ogos tahun lalu.
Beliau berkata, tujuan utama sumbangan itu bagi membantu pihak hospital menggantikan peralatan yang telah rosak serta menampung peningkatan keperluan pesakit yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
“Inisiatif sumbangan dilaksanakan di bawah Kluster Kebajikan Kesihatan YAR baru-baru ini di mana bantuan sedemikian akan diteruskan secara berterusan.
“Malah, pihak YAR sedang dalam perancangan untuk menyalurkan sumbangan lain kepada hospital berkenaan termasuk penyediaan penghawa dingin serta urusan pembelian ambulans bagi kegunaan HTSMTI,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam
Selain kerusi roda, YAR turut menyumbang katil, almari, loker dan kelengkapan perabot berjumlah RM60,000.
Mengulas lanjut, Luqmanul Hakim berkata, YAR berharap agar sumbangan yang disalurkan dapat membantu pesakit-pesakit asnaf serta hospital-hospital terpilih setiap tahu di samping meringankan beban mereka yang benar memerlukan.
Jelas beliau, perancangan YAR selepas ini adalah untuk meluaskan lagi gerak kerja kebajikan kesihatan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.
“YAR juga komited untuk terus menyantuni pesakit dan hospital melalui sumbangan seperti kerusi roda, peralatan perubatan, dan bantuan kesihatan lain.
“Pada masa yang sama, kami juga ingin menarik lebih ramai sukarelawan berdaftar serta penyumbang tetap untuk bersama-sama memperkukuh Kluster Kebajikan Kesihatan YAR,” katanya.-KOSMO! ONLINE














