fbpx
Ikan sikang yang melayakkan penulis bergelar King of Sikang dalam pertandingan ini (kiri). Ezad Haire bersama ikan sikang bersaiz 32sm yang menyumbang mata kepada kumpulannya untuk menjuarai kategori Kumpulan (kanan).

Terengganu Fly Fishing Fest meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Terengganu Fly Fishing Fest merupakan pertandingan yang telah diadakan sejak tahun 2018. Pertandingan ini lebih tertumpu kepada tangkapan ikan sikang yang berada di habitat asalnya dengan menggunakan kaedah pancing layang.

Keadaan air sungai yang sangat jernih adalah faktor tarikan utama kepada pemancing layang yang ingin memburu ikan sikang secara sight fishing. Biasanya, pemancing mempersembahkan umpan layang terus kepada ikan setelah dapat melihat kedudukannya di dalam air.

Namun begitu, warna ikan ini yang menyerupai pasir di lantai sungai menyebabkan ramai pemancing terlepas pandang akan keberadaannya.

Bagi pemancing layang berpengalaman, cara mereka menjejaki ikan ini adalah dengan berpandukan bayang­nya yang terhasil sebaik dipanah cahaya matahari.

Penggunaan cermin mata hitam polarized juga wajib kerana ia turut membantu untuk meninjau kedudukan ikan sikang di dalam sungai.

Ikan sikang di sini gemar menyambar umpan menyerupai serangga yang hanyut dari hulu.

Jadi, umpan layang jenis dry fly yang diikat dengan perambut (tippet) halus terbaik dipersembahkan dengan apungan pegun (dead drift).

Namun ada ketikanya, ikan sikang juga gemar menyambar umpan layang menyerupai anak-anak ikan.

Acara

Terdapat dua kategori utama untuk pertandingan ini iaitu Individu dan Berkumpulan.

Bagi kategori Individu, penentuan juara adalah berdasarkan ikan sikang terpanjang yang diukur menggunakan pita pengukur disediakan oleh penganjur.

Manakala bagi kategori Berkumpulan, peserta digabungkan secara bertiga bagi setiap kumpulan.

Markah diberi bagi setiap video scan untuk ukuran ikan yang berjaya didaratkan.

Tambahan markah diberi untuk setiap video ikan dilepaskan semula.

Acara selama dua hari ini bermula pada 1 Mei lalu dengan pendaftaran diadakan di Villa Sikang sejurus selesai solat Jumaat.

Perasmian acara berlangsung di Sungai Belukar Bukit oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid. Majlis ini dihadiri oleh semua peserta yang terlibat serta orang kampung sekitar.

Pada sebelah malam pula, kami berkumpul semula di Villa Sikang untuk melihat sesi demonstrasi cara mengikat umpan layang oleh Dron Lee.

Selain itu, kami berpeluang untuk mempelajari teknik mengikat umpan layang yang biasa digunakan di sungai ini oleh pemancing tempatan.

Christhopher John Mcllravy selaku Pengasas Terengganu Fly Fishing Club memberi taklimat ketika majlis perasmian.

Ini sangat penting kerana paten umpan layang yang biasa digunakan oleh pemancing tempatan pasti efektif kerana mereka sudah tentu mencuba pelbagai paten, barulah dapat terbaik.

Hari pertandingan

Kami berkumpul di Kampung Betong seawal pukul 7 pagi. Saya masuk kumpulan bertag FF bersama-sama Jack Azhari dan Jerry.

Peserta bebas memilih sama ada memancing di sepanjang Sungai Belukar Bukit atau Sungai Sekayu.

Kawasan yang menjadi pilihan saya adalah bersebelahan dengan Kampung Betong kerana terdapat banyak liku-liku sungai yang satu ketika dulu menjadi lokasi produktif untuk sight fishing ikan sikang.

Namun, setelah Sungai Belukar Bukit dilanda kepala air beberapa tahun lepas, aliran asal sungai telah banyak berubah.

Kemunculan beting pasir baharu serta aliran air yang sudah pecah menjadikan sungai ini lebih cetek dari dahulu.

Peserta dan urus setia bergambar kenangan.

Walaupun keadaan sungai sudah berubah, namun saya masih berjaya menaikkan beberapa ekor ikan sikang, dan yang terpanjang adalah 24 sentimeter (sm).

Oleh kerana terpikat dengan kecantikan dan kejernihan sungai ini, saya memilih untuk berjalan kaki seorang diri menongkah arus sejauh tiga kilometer ke tempat majlis penutup iaitu
di bersebelahan Jambatan Belukar Bukit.

Sepanjang perjalanan meranduk sungai, saya berasa sedikit kecewa kerana rata-rata lubuk yang saya lewati sudah tidak berpenghuni.

Hanya pada kilometer terakhir sebelum tiba ke destinasi, saya jumpa kehadiran anak-anak sikang yang bermain di gigi air.

Tidak jauh di hadapan saya, kelihatan satu kumpulan peserta sedang sibuk pancing layang.

Salah seorangnya bernama Kie telah strike seekor sikang saiz saiz besar, sebelum disorak oleh ahli kumpulannya.

Dalam kekecohan tersebut, kelihatan seekor demi seekor ikan sikang bersaiz kasar berenang bercempiaran di hadapan saya. Sudah rezeki, salah seekor daripadanya berhenti betul-betul 20 kaki di hadapan saya.

Berumpankan layang paten pheasant tail emerger, saya melayangkan ia betul-betul di hadapan ikan itu.

Ia nampak umpan layang tadi dan dengan menarik sedikit tali layang (twitch), umpan terus disambar.

Perlawanan dengan sikang ini berlangsung dengan beberapa kali aksi akrobatik.

Namun segala asakan ini berjaya diserap oleh kelembutan joran layang yang diperbuat daripada bahan gentian kaca yang saya guna.

Ketika ikan didaratkan, saya dibantu oleh pasukan sebelah untuk bergambar dan kami me­luangkan masa menghargai kecantikan ikan sikang yang panjangnya mencapai 33sm.

Setelah ikan itu dilepaskan semula ke habitat asal, saya mengambil keputusan untuk berhenti memancing dan menuju ke khemah urus setia.

Pertandingan ini tamat pada pukul 3 petang. Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Ustaz Maliaman Kassim.

Saya rasa bersyukur apabila diumumkan sebagai ‘King of Sikang’ iaitu juara bagi kategori Individu iaitu ikan yang terpanjang dalam pertan­dingan ini. Manakala juara bagi kategori Berkumpulan dimenangi oleh kumpulan dianggotai oleh Ezad Haire, Mohd. Syafiq dan Muhd. Ziyad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN