fbpx
Michael Chong (kiri) memohon bantuan orang awam mengesan kehilangan lelaki warga emas sejak tiga bulan lalu di sekitar Kuala Lumpur.

Warga emas hilang lebih 3 bulan, keluarga rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang warga emas yang menghidap demensia dilaporkan hilang sejak 12 November tahun lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, selepas pejabatnya menerima aduan berhubung kehilangan lelaki berusia 69 tahun dikenali sebagai Chong Ah Hing @ Chong Yoke Ling.

Menurut beliau, mangsa kali terakhir dilihat di sekitar Seputeh, Jalan Pauh, Loke Yew di sini.

“Sudah lebih tiga bulan beliau hilang dan keluarga berada dalam keadaan amat tertekan serta bimbang dengan keselamatannya. Kita berharap orang ramai dapat membantu mengesan keberadaan mangsa sekiranya ternampak individu yang menyerupai beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berketinggian kira-kira 1.73 meter dan mempunyai parut jelas di dahi berhampiran atas kening kiri.

Ketika dilaporkan hilang, beliau memakai kemeja putih bercorak kotak kelabu cair, seluar pendek hitam paras lutut serta selipar dan tidak membawa kad pengenalan mahupun telefon bimbit.

Michael Chong berkata, keadaan kesihatan mangsa yang menghidap demensia menyebabkan beliau mungkin tidak dapat berkomunikasi dengan jelas.

“Disebabkan pakaian yang sederhana dan keadaan dirinya, beliau mungkin disalah anggap sebagai gelandangan atau penagih, menyebabkan orang ramai tidak berani mendekati untuk membantu.

“Jika ternampak individu yang menyerupai mangsa di jalanan, hentian bas, kawasan perumahan atau mana-mana lokasi, tolong hubungi pihak berkaitan dengan segera,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan keluarga yang mempunyai ahli menghidap demensia supaya menyediakan gelang atau tag pengenalan diri yang mengandungi maklumat peribadi dan nombor telefon kecemasan bagi memudahkan tindakan pantas sekiranya berlaku kehilangan.

Sementara itu, Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA bersama keluarga mangsa menawarkan ganjaran RM1,000 kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sah sehingga membawa kepada penemuan mangsa.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 012-903 6460, 019-943 2920, 017-353 7914 atau pejabat Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA (Mr Low) di 03-2716 5952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN