KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 Mac hari ini bagi keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P.Waytha Moorthy berhubung keabsahan pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun.
Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.
Dalam prosiding hari ini, peguam utama, Ranjit Singh dan Nicholas Yap bertindak bagi pihak Anwar, manakala Waytha Moorthy diwakili peguam S.Karthigesan. Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali dari Jabatan Peguam Negara bertindak selaku amicus curiae (sahabat mahkamah).
Terdahulu semasa prosiding, Ranjit berkata saman pemula yang dikemukakan bekas Menteri Waytha Moorthy melanggar Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hujahannya, Ranjit berkata Perkara 118 melarang sesuatu pilihan raya dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya.
Sementara Karthigesan memaklumkan, bahawa plaintif hanya mempertikaian mengenai kecacatan prosedur semata-mata.
Beliau berkata, afidavit anak guamnya secara nyata menghujahkan bahawa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak secara jelas menyingkirkan hilang kelayakan di bawah Perkara 48 perlembagaan.
Sebelum pada 10 Oktober 2025, Anwar memohon untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan ia melanggar pelbagai prosedur dan keperluan perlembagaan serta berkanun lain mandatori, yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
Anwar menegaskan, saman berkenaan tidak berasas, dan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah serta menyalahgunakan proses mahkamah.
Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 12 Ogos tahun lalu bagi perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Beliau turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Pada 14 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media memaklumkan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
Ia berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
AGC berkata sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – KOSMO! ONLINE














