TEHRAN – Negara-negara di seluruh dunia menyuarakan kebimbangan berhubung tercetusnya perang besar di Asia Barat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, diikuti dengan tindak balas Tehran yang menyasarkan pangkalan AS di rantau itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam perkembangan terkini itu.
“Saya menyeru agar permusuhan dihentikan serta-merta dan ketegangan dikurangkan,” kata Guterres dalam satu kenyataan sambil menambah, serangan di kedua-dua pihak menjejaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Dalam reaksi berasingan, Ketua Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen mengutuk serangan Iran ke atas Emriyah Arab Bersatu (UAE) dan menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara serta undang-undang antarabangsa.
Russia pula mengecam serangan AS dan Israel ke atas Iran di samping memberi amaran bahawa mereka boleh mengheret rantau itu ke ambang malapetaka kemanusiaan, ekonomi, dan kemungkinan radiologi.
China menggesa tindakan ketenteraan dihentikan segera dengan Kementerian Luar Beijing menegaskan bahawa kedaulatan negara, keselamatan serta integriti wilayah Iran mesti dihormati.
Sementara itu, Qatar yang menempatkan pangkalan tentera AS, mengecam serangan peluru berpandu Iran ke atas wilayahnya dan menyatakan ia berhak untuk bertindak balas.
Menteri Luar Norway dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menyatakan serangan Israel ke atas Iran melanggar undang-undang antarabangsa.
“Kami amat terganggu dengan serangan AS-Israel ke atas jiran kami, Iran,” kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sambil mengecam serangan dron dan peluru berpandu Tehran ke atas negara-negara Teluk.
Britain, Perancis dan Jerman secara bersama mengecam serangan balas Iran dengan masing-masing menegaskan mereka tidak terlibat dalam operasi AS-Israel.
Mesir pula memberi amaran bahawa konflik itu membawa risiko besar terhadap keselamatan dan kestabilan negara-negara Arab. – AFP














