PETALING JAYA – Perkembangan gencatan senjata selama 10 hari antara Lubnan dan Israel dilihat sebagai langkah positif untuk meredakan ketegangan, namun situasi keselamatan di lapangan masih belum stabil.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat laporan berhubung beberapa pelanggaran perjanjian di selatan Lubnan dan meminta semua pihak perlu menghormati sepenuhnya perjanjian tersebut bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak.
“Keutamaan kami sentiasa tertumpu kepada keselamatan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 yang sedang melaksanakan tugas di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL),” katanya.
Setakat ini, semua anggota Malbatt dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan terus menjalankan tanggungjawab mengikut mandat yang diberikan.
Kementerian Pertahanan turut memaklumkan bahawa pemantauan rapi akan terus dilakukan melalui Markas Angkatan Bersama dengan kerjasama UNIFIL serta pihak berkaitan bagi memastikan perkembangan semasa sentiasa terkawal.
“Sebarang pelarasan operasi akan dibuat berdasarkan arahan UNIFIL serta penilaian situasi di lapangan,” katanya.
Dalam masa sama, Malbatt kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan keselamatan anggota terus terpelihara.
Tambahnya, diharapkan gencatan senjata itu dapat dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak dan menjadi asas kepada penyelesaian berkekalan melalui rundingan serta saluran diplomasi. – KOSMO! ONLINE













