PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Sembilan kekal berfungsi seperti biasa meskipun timbul isu politik melibatkan pentadbiran negeri itu.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang turut membincangkan perkembangan terkini politik serta pentadbiran negeri berkenaan.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan Negeri Sembilan berjalan seperti biasa dan Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri isu berhubung urusan adat,” katanya pada liputan sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan akan mengadakan pertemuan bersama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri juga dimaklumkan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri, termasuk Negeri Sembilan, tidak terjejas dan terus berjalan seperti biasa,” ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan semua 14 ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Susulan itu, Aminuddin dilaporkan berkata, beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri sebagai kerajaan minoriti biarpun 14 ADUN BN menarik sokongan kepadanya. – KOSMO! ONLINE














