PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan rombakan pentadbiran parti berkuat kuasa serta-merta menyaksikan Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diberhentikan daripada jawatan masing-masing.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Mohd. Radzi yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya diberhentikan daripada perkhidmatan dan digantikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Katanya, Muhammad Sanusi pada masa sama turut diberhentikan daripada jawatan Bendahari PN, dengan kekosongan itu diisi oleh Subramaniam Surunaryan.
“Selain itu, Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga diberhentikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional.
“Penstrukturan semula pentadbiran ini dibuat bagi tujuan menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Samsuri, keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional.
Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi gabungan berkenaan menjelang dua pilihan raya negeri tersebut. – KOSMO! ONLINE














