JEMPOL – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap gelombang sokongan yang diterima sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri ini diterjemahkan kepada kemenangan calon BN pada hari pengundian esok.
Beliau berkata, mengikut jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kadar keluar mengundi dijangka melebihi 71 peratus, manakala peratusan pengundi awal melebihi 91.1 peratus boleh menjadi pemangkin kepada keputusan pilihan raya kali ini.
“Jika trend ini dapat dipertahankan atau menghampiri kadar pengundian awal, ia merupakan satu game changer untuk diterjemahkan di Negeri Sembilan. Saya harap begitu,” katanya selepas menghadiri Gema@Kemas DUN Jeram Padang di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya di sini hari ini.
Mengulas pembentukan kerajaan negeri selepas PRN, beliau berkata, mana-mana gabungan yang memperoleh mandat perlu dihormati dan diberi ruang mentadbir Negeri Sembilan demi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
“Kita tidak mahu rumah siap, tetapi berbunyi. Siapa sahaja yang mendapat perkenan Tuanku untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar mesti mendapat sokongan padu supaya Negeri Sembilan terus maju dari segi ekonomi, industri dan peluang pekerjaan,” ujarnya.
Beliau berharap BN muncul sebagai gabungan yang lebih dominan selepas keputusan diumumkan, namun segala-galanya bergantung kepada mandat rakyat menerusi peti undi. – KOSMO! ONLINE














