PASUKAN mana menjadi pilihan anda untuk memenangi Piala Dunia FIFA 2026? Acara berprestij sekali empat tahun yang selalu dinanti-nanti. Yang buat-buat minat bola sepak pun ramai.
Meskipun kejohanan kali ini dirasakan agak hambar berbanding edisi-edisi terdahulu ia tetap menjadi jambatan hubungan antarabangsa serta berfungsi sebagai medium diplomasi negara-negara yang sebelum ini berbeza pendirian politik.
Di peringkat global, banyak negara sedang berdepan pelbagai cabaran seperti ketidaktentuan ekonomi, persaingan kuasa besar dan konflik serantau.
Piala Dunia jadi jalan eskapisme. Perhatian jutaan manusia beralih kepada aksi di padang. Ruang untuk melarikan diri seketika daripada tekanan realiti. Netizen hari ini menggelarkan fenomena ini sebagai ‘gencatan senjata sosial’.
Andai kata ada kawan-kawan anda, penyokong kelab bola sepak rival tiba-tiba datang berbicara tentang taktikal permainan, prestasi pemain dan peluang pasukan kegemaran mereka, janganlah ‘potong angin’ mereka. Mungkin mereka mahu meredakan beban emosi.
Sekurang-kurangnya ada juga topik untuk dibualkan ketika berada di pejabat atau waktu makan tengah hari. Agak lari sedikit daripada cerita-cerita kebiasaan contohnya politik negara. Ramai sedia maklum negara dalam fasa pilihan raya di dua negeri.
Bagaimanapun, penurunan suhu politik ini tidak bermakna semua isu telah selesai. Masalah kos sara hidup, percukaian, peluang pekerjaan dan pembangunan negara masih memerlukan perhatian serius daripada kerajaan serta rakyat.
Keadaan ini mewujudkan suasana yang lebih santai dan mengurangkan perdebatan politik. Sejak tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan diumumkan algoritma di media sosial panas dengan ‘perang’ politik baik daripada pemimpin parti dan penyokong.
Tentera siber parti-parti politik sudah memulakan taktik-taktik pengalihan perhatian, pembinaan naratif, politik simbolik dan mobilisasi emosi kerana kesemua unsur ini mempengaruhi bagaimana masyarakat memberi perhatian kepada sesuatu isu pada sesuatu masa sekali gus diterjemahkan di atas kertas undi.
Berdasarkan pemerhatian penulis, adalah tidak mustahil berlaku jajaran baharu politik konsensus andai kata suhunya tidak menurun.
Seperti yang kita sedia maklum rakyat semestinya mahukan pemimpin serta parti yang boleh memberi manfaat terbaik buat mereka.
Kira-kira 3.61 juta pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab memilih pada PRN Johor dan Negeri Sembilan yang ditetapkan pada 11 Julai dan 1 Ogos depan. Jadi ‘pasukan’ mana bakal dipilih bagi membentuk kerajaan negeri baharu?
















