SEREMBAN – Kerajaan menolak dakwaan mengaitkan Malaysia dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian termasuk daripada komuniti Rohingya melalui inisiatif penyediaan Baitul Mahabbah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah ini adalah langkah interim untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
“Dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.
“Realitinya, kerajaan sedang berusaha memastikan kanak-kanak yang terlibat tidak terus berada dalam persekitaran tahanan biasa, di samping memastikan mereka dilindungi daripada risiko eksploitasi, penyeludupan migran, pemerdagangan orang dan pengabaian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, Baitul Mahabbah merupakan langkah peralihan yang dilaksanakan kerajaan, sementara kerangka inisiatif alternatif kepada penahanan kanak-kanak sedang diperhalusi oleh KDN bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menurut beliau, di Baitul Mahabbah kanak-kanak ditempatkan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas dan ruang riadah yang bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka.
“Inisiatif ini membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.
“Setakat 28 Februari 2026, sebanyak enam buah Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dan menempatkan seramai 188 orang kanak-kanak, termasuk tujuh orang kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














