MINAT dalam bidang penulisan dan perkongsian ilmu yang berputik sejak di bangku sekolah telah mendorong Iwana Aisyah Ab. Halim, 29, berdedikasi menjalankan program pembangunan ummah.
Menurut wanita kelahiran Bachok, Kelantan itu, dia memberikan komitmen 100 peratus untuk mendidik generasi muda terutama berkaitan kesedaran haid menerusi platform media sosial dan kembara ceramah agar ilmu tersebut dapat disebarluaskan.
“Program kesedaran haid ini bermula pada tahun lalu apabila pihak Telaga Biru Sdn. Bhd. (Telaga Biru) iaitu syarikat penerbitan bagi tiga buku saya meminta mengadakan perkongsian ilmu berkaitan haid di sekolah-sekolah dalam siri eksponya.
“Pada mulanya, sebanyak 15 buah sekolah terlibat, dan saban hari angka itu bertambah sehingga ada satu masa, saya perlu membuat perkongsian kepada 20 buah sekolah dalam sebulan, dengan jumlah pelajar mencecah lebih 500 orang.
“Guru-guru sangat gembira kerana setakat ini tidak ada pihak yang membuat perkongsian sangat terperinci mengenai haid dan solat serta aurat kepada pelajar di sekolah,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Takhasus Qiraat dari Universiti Al-Azhar, Mesir itu.
Setelah berkunjung ke beberapa buah sekolah, Iwana Aisyah mendapati kesedaran mengenai haid dalam kalangan pelajar sekolah sangat rendah.
Katanya, sebagai orang Islam, isu itu perlu diberi perhatian kerana berkait rapat dengan ibadah.
“Ada yang bertanya sebab perlu mandi wajib, kena ganti puasa ketika haid dan beberapa persoalan asas lain berkaitan ibadah solat. Mungkin perkara asas ini telah diajarkan oleh guru dan ibu bapa. Namun pada usia yang masih muda terutama pelajar di sekolah rendah, mereka masih belum mengerti. Jadi, mereka perlu diberi dakwah berterusan bagi menjawab segala persoalan yang timbul.
“Perkara ini membuatkan saya rasa tidak boleh berlengah lagi untuk berdakwah mendidik generasi muda demi masa depan mereka,” kata penulis buku Ahli al-Qurankah aku?, Siraman Jiwa al-Quran dan Kit Ibadah Wanita itu.

Bagi menjadikan program kendaliannya interaktif dan menarik, Iwana Aisyah menggunakan konsep santai dengan membuat demonstrasi, pertunjukkan video dan prop.
Dia juga menggunakan tiga buku terbitan Telaga Biru sebagai modul utama pembelajaran iaitu Haid Pertamaku, Saya Sudah Baligh dan Misi Solat Sempurna.
Memandangkan impak program itu sangat besar, dia berjaya mendapat tajaan daripada jenama tuala wanita, Intimate, sekali gus menyemarakkan lagi dakwahnya.
Kebolehan Iwana Aisyah berdakwah terutama kepada anak muda membuatkannya tidak menang tangan menerima jemputan ceramah atau perkongsian secara peribadi daripada pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, rumah perlindungan kanak-kanak dan rumah anak-anak yatim.
“Saya juga sering mendapat jemputan ceramah di Kedutaan Malaysia di Jordan untuk berkongsi ilmu kepada pelajar Malaysia, Indonesia dan Singapura mengenai emosi wanita serta al-Quran,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.
Iwana Aisyah yang kini sedang menyambung pengajian Sarjana Dakwah Dan Al-Quran di Universiti Kebangsaan Malaysia juga bijak mengatur masa sebagai pelajar, penulis, penceramah dan Pengasas serta Pengurus Besar Tibyan Centre iaitu sebuah pusat pengajian al-Quran online.
“Tibyan Centre mula beroperasi sejak 2021 atas permintaan orang ramai pada ketika itu.
“Kini, kami mempunyai 10 orang staf tetap dan 100 orang tenaga pengajar yang mengajar pelajar-pelajar secara online,” ujarnya.
















