fbpx
Gambar yang dimuat naik Nursyazwani memaparkan adik iparnya mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Padang, Indonesia.

Pengsan di Padang, wanita akui lebih hargai hospital Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengalaman cemas seorang pelancong Malaysia yang menyaksikan adik iparnya pengsan ketika bercuti di Padang, Indonesia, mengundang perhatian ramai apabila dia berkongsi perbezaan sistem rawatan kesihatan antara negara itu dan Malaysia.

Menerusi hantaran dimuat naik Nursyazwani Tawang di Facebook, dia menceritakan insiden yang berlaku pada hari ketiga percutian mereka apabila adik iparnya dikenali sebagai Shahir tiba-tiba rebah dan hampir tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah restoran.

Menurutnya, sebelum kejadian, Shahir mengalami sakit perut dan kerap berulang-alik ke tandas selepas meminum air tebu yang dibeli di kawasan pelancongan Istana Basa Pagaruyong.

“Dia mula sakit perut pada malam itu dan lebih 10 kali ke tandas. Keesokan harinya saya nampak dia semakin pucat tetapi dia kata masih boleh berjalan.

“Ketika berada di restoran untuk makan tengah hari, dia minta air suam. Tiba-tiba dia mula hilang keseimbangan badan dan terus menutup mata,” katanya.

Susulan itu, ahli keluarga yang panik segera membawanya ke sebuah hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Wanita tersebut berkata, keadaan menjadi lebih mendebarkan apabila petugas hospital terus membawa pengusung (stretcher) berbanding kerusi roda untuk membawa pesakit ke bahagian rawatan.

“Pada masa itu saya hanya fikirkan keselamatan dia. Kami berada di negara orang dan memang sangat risau,” ujarnya.

Selepas menerima rawatan selama kira-kira dua jam, Shahir dibenarkan pulang oleh doktor.

Menurut wanita itu, pengalaman tersebut membuka matanya mengenai sistem kesihatan di kawasan berkenaan apabila dimaklumkan bahawa hospital lazimnya hanya menerima kes yang benar-benar kritikal.

“Saya tanya penduduk tempatan kenapa pesakit di hospital sedikit. Rupanya, hospital kat Padang tu, hanya terima pesakit yang kritikal sahaja. Mudah cerita, kalau nyawa dekat hujung tanduk, baru diterima sebagai pesakit.

“Aku tanya supir aku, kalau kemalangan darah sikit-sikit macam mana, dia kata tu rawat di rumah sahaja. Sini tak ada klinik. Memang rawatan tradisional lah cerita dia.

“Aku tanya mas tu lagi, kalau kes Shahir ni dia buat apa je? Dia cakap, kami akan sapu bawang merah di hidungya, dan makan bawang merah-mentah. Angin bisa keluar,” katanya.

Susulan itu, dia menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersyukur dengan fasiliti kesihatan di tanah air lebih-lebih lagi rawatan yang disediakan sangat murah berbanding negara lain.

“Kadang-kadang kita merungut menunggu lama di hospital, tetapi sekurang-kurangnya pesakit masih diterima dan diberikan rawatan mengikut tahap kecemasan.

“Pengalaman ini benar-benar membuatkan saya lebih bersyukur menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya bersetuju bahawa rakyat Malaysia perlu lebih menghargai kemudahan kesihatan yang tersedia di negara ini.

“Ni dinamakan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walau macam mana nampak elok pun dekat negara orang, masih lagi negara sendiri sepuluh kali lebih elok,” tulis Nani.

“Bagusnya malaysia. Dekat sini kena air panas sikit dah pergi klinik. Hari tu demam sikit pergi klinik. Tumit sakit tak boleh pijak pun saya pergi klinik,” tulis Nur Mas Suraya pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN