KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan banyak masalah ketika meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, bekas juara dunia itu menewaskan rakan sepasukan, Arif Junaidi-Yap Roy King menerusi kemenangan straight-set 21-15, 21-14.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi cukup dominan apabila menguasai sepenuhnya permainan, terutamanya di set pertama sebelum melengkapkan kemenangan dalam tempoh 31 minit.
Aksi set kedua dilihat agak seimbang memandangkan Arif-Roy King beberapa kali bangkit mengejar dan menyamakan kedudukan, namun faktor pengalaman nyata memberi kelebihan buat Aaron-Wooi Yik.
Menerusi keputusan itu, Aaron-Wooi Yik terus melebarkan rekod kepada empat kemenangan dalam empat pertemuan dengan beregu No.17 dunia berkenaan.
Menjelang pusingan kedua esok, pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik itu dijadualkan berdepan beregu tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang menang 21-9, 21-13 ke atas Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dari Jepun.
Turut melangkah ke pusingan kedua esok adalah dua beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Carmen Ting-Ong Xin Yee selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE














