PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 2.75 peratus selepas mesyuarat yang diadakan petang ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertumbuhan global kekal berdaya tahan pada suku pertama tahun 2026, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan teknologi global yang terus berkembang.
Bagaimanapun, peningkatan harga tenaga dan komoditi yang mendadak serta gangguan rantaian bekalan daripada konflik Timur Tengah mula mempengaruhi momentum pertumbuhan
global.
Risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus tinggi, berpunca daripada ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.
Potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk konflik yang mereda lantas menyebabkan keadaan rantaian bekalan bertambah baik, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
“Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang kukuh. Pada masa hadapan, ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik Timur Tengah akan mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.
“Bagaimanapun, asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah,” jelasnya.
Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
Tambah MPC, pihaknya mengambil peluang tentang ketidakpastian berikutan konflik yang sedang
berlaku di Timur Tengah. Kesannya terhadap ekonomi global dan ekonomi Malaysia akan bergantung pada perkembangan hal ini.
Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar
dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. -KOSMO! ONLINE














