PETALING JAYA – “Ngam-ngam lepas salam kedua, saya terima panggilan minta datang segera…ketika itu saya sudah reda.”
Demikian luahan pilu seorang lelaki dikenali sebagai Ahmad menerusi satu hantaran di Facebook yang tular selepas kehilangan isteri tercinta dalam satu kemalangan jalan raya, Selasa lalu.
Menurut Ahmad, pagi 14 April 2026 menjadi detik terakhir dia memeluk isterinya, Jamaliah Aris, 37, sebelum masing-masing keluar bekerja seperti biasa tanpa menyangka ia adalah perpisahan terakhir.
Katanya, pada tengah hari kejadian, isterinya masih sempat menunaikan solat zuhur di rumah, malah sejadah dan telekung dibiarkan tidak berusik sehingga kini sebagai kenangan terakhir.
“Lebih kurang pukul 3 petang saya hubungi isteri, beritahu saya dalam perjalanan pulang dan mahu ambil anak-anak. Tapi dia kata mahu ambil sendiri. Aku okey je la, aku terus balik rumah,” katanya.
Namun, situasi menjadi pelik apabila isterinya terlupa mengambil salah seorang anak sebelum keluar semula dari rumah.
Bercerita lanjut, Ahmad berkata, kira-kira pukul 3.53 petang, dia menerima panggilan daripada rakan sekampung memaklumkan isterinya terlibat dalam kemalangan berhampiran rumah mereka.
“Umi dalam kereta dan orang awam tolong nak keluarkan, mungkin ada tersepit kaki umi. Akhirnya berjaya keluarkan, aku terus rangkul dia (isteri). Aku duduk dekat situ aku riba umi, aku rasa nadi dia, jantung dia, hati kecil aku (berkata) ‘umi….’ mata dah tertutup, muka kaki tangan dah pucat,” katanya.
Menurutnya, isterinya kemudian dibawa ke hospital dengan bantuan orang awam, namun keadaan wanita itu dilihat semakin tidak bermaya.
Ahmad berkata, dia sempat menunaikan solat asar di hospital sebelum menerima panggilan cemas daripada ahli keluarga sejurus selesai memberi salam kedua.
Tambahnya, dia sudah pun bersedia menerima segala kemungkinan sejak memangku isterinya di lokasi kejadian.
Ahmad menambah, isterinya disahkan meninggal dunia pada pukul 4.46 petang akibat kecederaan dalaman serius, termasuk pendarahan pada jantung (cardiac tamponade) serta patah tulang rusuk dan klavikel.
“Tiada yang berlaku di atas dunia ini tanpa sebab ,semua sudah tertulis di lauh mahfuz. Babah reda umi, insya-Allag babah cuba yang terbaik untuk keluarga kita, besarkan dengan semampunya, baik abang Malik, abang Farouk dan adik Fahri.
“Tiga orang tu matang sebelum usia. Harta dunia akhirat kita sayang. Babah tak ralat, babah dapat berada di sisi umi sampai umi pergi dan paling babah bersyukur, babah dapat imam kan umi. Terima kasih sayang,” luahnya.
Hantaran tersebut meraih perhatian ramai pengguna media sosial yang turut menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar Ahmad dan tiga anak mereka diberi kekuatan menghadapi ujian berat itu. – KOSMO! ONLINE













