fbpx
Amirudin ketika sidang akhbar khas di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI

Selangor lancar pakej RM130.42 juta hadapi krisis Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor termasuk agensi negeri memperuntukkan sebanyak RM130.42 juta untuk Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dalam mendepani krisis Asia Barat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pakej bermula Jun depan bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan.

Menurutnya, ia juga memberikan manfaat dalam mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan, meningkat pengunaan pengangkutan awam serta bantuan bersasar kepada golongan yang paling terkesan.

“Di Selangor, kita tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat, tetapi kita harus membuat persediaan menghadapi situasi ini untuk tempoh masa yang panjang.

“Pakej yang dilancarkan hari ini merangkumi beberapa langkah jangka segera dan sederhana untuk membantu rakyat dan industri menghadapi situasi yang bakal kita hadapi,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Menurut beliau, peruntukan pakej tersebut antaranya melibatkan sejumlah RM5 juta untuk Jelajah Ehsan Rahmah melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebulan sekali di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.

Jelasnya, ini mampu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan bakal memanfaatkan sehingga 168,000 isi rumah.

“Seterusnya, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM50 juta untuk Gudang Makanan Selangor (GMS), iaitu RM25 juta daripada sumber kewangan negeri dan RM25 juta daripada simpanan PKPS.

“Langkah ini bertujuan supaya sekiranya berlaku sebarang kekurangan import makanan, Selangor dapat mengaktifkan GMS yang mempunyai stok seperti beras dan protein agar harga barang mentah tidak melonjak terlalu tinggi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, kerajaan negeri turut berhubung rapat dengan komuniti usahawan kerana mereka memainkan peranan penting dalam industri mikro dan kecil, khususnya peruncitan.

“Melalui Koperasi Warga Hijrah (KoHijrah), sebanyak RM6 juta akan disalurkan untuk menampung kos operasi dan kos barangan bagi koperasi dalam bidang peruncitan dan logistik.

“Malah, Platform Selangor (PLATS) akan turut diperluaskan mulai bulan Mei depan supaya lebih ramai peniaga tempatan dapat memanfaatkan bantuan daripada ekosistem negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN