CYBERJAYA- Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk meneliti cadangan pemotongan gaji menteri sekiranya keadaan ekonomi negara menjadi lebih runcing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, buat masa ini gaji menteri di negara ini adalah relatif rendah dan masih munasabah selagi mereka menjalankan tugas dengan baik.
Beliau berkata, soal pemotongan gaji bukan keutamaan ketika ini, sebaliknya prestasi kerja anggota pentadbiran menjadi perkara utama yang perlu diberi perhatian.
“Gaji kita relatif memang rendah gaji-gaji menteri. Yang penting mereka bekerja dengan baik.
“Macam saya, saya tidak ada masalah, saya tidak ambil gaji, tetapi gaji itu hak mereka selagi mereka bekerja dengan baik, saya fikir munasabah,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan meneliti langkah pemotongan gaji menteri seperti yang dilaksanakan di Indonesia.
Bagaimanapun, Anwar tidak menolak kemungkinan perkara itu akan dipertimbangkan sekiranya keadaan ekonomi negara bertambah mencabar pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














