SEBAIK kenderaan memasuki laluan khusus di Taman Safari Bogor, Indonesia, sesiapa sahaja tidak kira anak kecil atau orang dewasa mula tidak keruan untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis haiwan di habitatnya.
Pengalaman ini sungguh berbeza buat mereka yang biasa berkunjung ke mana-mana zoo, khususnya di Malaysia.
Ini kerana, selang beberapa meter sahaja, pengunjung dapat melihat pelbagai binatang dengan lebih jelas.
Jadi inilah masa yang terbaik untuk pengunjung merakam gambar atau video sebagai kenangan.
Jika tiada papan tanda yang tidak membenarkan pengunjung keluar dari kereta, mahu rasanya penulis turun dan mendekati binatang dianggap agak jinak di taman tersebut.
Sebaik tiba di situ, penulis dan rakan-rakan kembara lain berasa seperti berada dalam sebuah filem bertemakan haiwan.
Lebih menarik, terdapat kumpulan haiwan jinak yang akan bergerak melintasi kenderaan, dan ini adalah masa terbaik untuk pengunjung memberi makan.
Tip penting, sebelum masuk ke taman tersebut, anda boleh membeli dulu stok lobak yang dijual oleh penduduk kampung di sepanjang perjalanan menuju ke taman tersebut.
Semua pengunjung dibenarkan memandu kenderaan sendiri melalui jalan khas yang disediakan.

Terdapat juga kenderaan yang disediakan oleh pihak hotel. Ini memberi satu kelebihan kerana terdapat pembantu pelancong yang akan memberi penerangan kepada pengunjung.
Pengunjung akan rasa lebih teruja apabila memasuki kawasan penempatan binatang buas seperti harimau, beruang, singa dan puma.
Kandang haiwan ini sangat berbeza, malah kami tidak dibenarkan membuka cermin kereta untuk keselamatan diri.
Bagi peminat filem Zootopia, Madagascar, Kungfu Panda, pengalaman berada di sini dapat memberi gambaran sebenar mengenai kisah-kisah binatang dalam cerita-cerita berkenaan.
Perjalanan dari satu blok ke blok lain sehingga ke Istana Panda cukup mengasyikkan.
Rasanya, itu baru suku perjalanan dalam taman tertua di Indonesia itu.
Ini bermakna pengunjung perlu berada di kawasan persekitaran taman safari itu selama dua hari, baru puas untuk melihat semua tarikan.
Malah di sebelah malam, ada aktiviti untuk melihat haiwan-haiwan yang aktif ketika waktu gelap.
Di Taman Safari Bogor, terdapat segala kemudahan termasuk hotel.
Penulis berpeluang menginap di Safari Resort hotel yang bertaraf empat bintang. Hotel itu menawarkan satu pengalaman unik, di mana sebaik bangun solat subuh, terdengar bunyi burung, unggas dan siamang.
Taman Safari Bogor yang terletak di kawasan tanah tinggi itu menjanjikan kedinginan yang ketara pada musim hujan.
Jadi bagi mereka yang merangka perjalanan ke sini, perlulah membawa pakaian baju panas untuk dipakai pada waktu pagi dan malam.

Indonesia sebenarnya memiliki keunikan dalam aspek penjagaan dan konservasi haiwan, di mana syarikat swasta memperuntukkan pelaburan besar dalam mengoperasikan perniagaan ini.
Jadi tidak hairanlah negara jiran itu memiliki enam Taman Safari, selain di Bogor.
Bagi Taman Safari Bogor, penulis teruja dengan adanya Istana Panda yang menempatkan sebuah muzium dan pusat penerangan tentang haiwan comel dari China itu.
Di situ juga terdapat pusat kajian dan pembangunan, pusat konservasi serta sebuah restoran yang dilengkapi cermin besar untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati makanan sambil melihat gelagat panda di dalam kandang.
Sepanjang perjalanan menuju ke Istana Panda di atas bukit yang menempatkan pasangan Cai Tao dan Hu Chun, terdapat ratusan ekar tanaman pokok buluh untuk makanan Panda.
Kami berasa bertuah kerana pada ketika itu, Taman Safari Bogor sedang meraikan kelahiran bayi jantan panda pertama pasangan berkenaan.
Ketika ini, ibu panda dan anaknya yang diberi nama Satrio Wiratama sedang melalui fasa pemerhatian di sebuah bilik khas.
Ini adalah titik sejarah baharu untuk konservasi di Indonesia kerana anak panda itu lahir melalui proses inseminasi buatan selepas mengalami kegagalan sepanjang lebih lapan tahun lalu.














