fbpx
Hazaril (tengah) ketika menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 Kategori Orang Asli di Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Orang Asli anak peneroka sawit raih 4.00 STPM, tekad jadi guru BM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAYANG – Berasal daripada keluarga peneroka sawit di sebuah kampung pedalaman di Pahang bukan penghalang buat anak Orang Asli ini mencatat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Hazaril Hakimi Hassan, 20, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh berjaya memperoleh gred A dalam empat mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Pengajian Perniagaan.

Hazaril berkata, kejayaan itu amat bermakna buat dirinya kerana menjadi individu pertama dalam keluarganya menerima pengiktirafan cemerlang daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Bercerita mengenai cabaran yang dihadapi, Hazaril berkata, dia terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira 30 kilometer dari rumahnya yang terletak di Kampung Paya Mendoi, Kuala Krau ke sekolah, selain melalui sebahagian laluan yang agak sukar.

Namun, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat anak sulung daripada dua beradik itu untuk menuntut ilmu.

“Kerana jalan yang sukar, selepas tamat sesi persekolahan harian, saya memilih untuk tinggal di asrama kerana ia memudahkan saya menguruskan jadual belajar dengan lebih teratur.

“Cikgu-cikgu dan kawan-banyak tolong saya dari segi pembelajaran, jadi sebab itu saya jarang berhadapan kesukaran untuk belajar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2025 di sini hari ini.

Tambah Hazaril, meskipun pada peringkat awal dia tidak begitu berminat mengikuti aliran Tingkatan Enam, namun persepsi itu berubah selepas memahami kelebihan laluan berkenaan.

“Apabila cikgu menerangkan banyak kelebihan Tingkatan Enam dan memberi sokongan, saya semakin yakin memilih laluan ini,” ujarnya.

Dia juga berkata, tiada ahli keluarganya yang pernah melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, namun seorang ibu saudaranya pernah bergelar guru.

Justeru, dia memasang impian untuk mengikuti jejak langkah tersebut dengan menyambung pengajian dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam majlis yang sama, Hazaril dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 Kategori Orang Asli yang membawa pulang cek cura bernilai RM1,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.

Dia merupakan salah seorang daripada 57 penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM termasuk ujian Malaysian University English Test (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) diraikan atas pencapaian cemerlang masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN