JAKARTA – Pengunjung sebuah pantai di Kepulauan Tidore, wilayah Maluku Utara terkejut apabila menemui sejumlah gambar individu bersama identiti mereka dalam sehelai kain putih, lapor portal berita Lambe Turah.
Penemuan aneh itu dibuat di Pantai Soasio semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan penduduk tempatan melihat gambar-gambar itu sambil menyebut nama yang tertera.
Antara nama yang disebut termasuk bekas calon gabenor Maluku Utara, Benny Laos. Beliau maut selepas bot laju dinaikinya terbakar di Pulau Taliabu pada 2024.
Rakaman itu mencatatkan lebih 111,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Mungkin ada yang tidak puas hati dengan mendiang,” kata seorang netizen.
“Semoga kita dijauhkan daripada perkara seperti ini,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














