TAMPIN – Ketika kebanyakan pengusaha kebun berlumba-lumba menanam varieti durian popular seperti musang king dan duri hitam, seorang pengusaha agropelancongan di sini memilih laluan berbeza apabila mengumpul 11 spesies durian hutan Malaysia demi memastikan khazanah alam itu tidak pupus ditelan zaman.
Pengasas Calanthe Dreamland, Ng Kim Chew, 53, berkata, usaha yang dimulakan kira-kira tiga tahun lalu itu bertujuan memelihara kepelbagaian genetik durian tempatan yang semakin kurang dikenali masyarakat.
Menurutnya, ramai menganggap dia ‘orang gila’ kerana sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk mencari benih durian hutan dari kawasan pedalaman termasuk di Kelantan, Pahang, Sabah serta Sarawak.
“Mengikut maklumat yang diterbitkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di Asia Tenggara terdapat 29 spesies durian di mana 23 daripadanya terdapat di Malaysia.
“Apa yang kita dapat komersialkan sekarang durian musang king, black thorn, d24, tekka, udang merah tapi ini hanya lah satu spesies durian hutan yang dipanggil durio zibethinus.
“Mengapa kita fokus durio zibethinus, padahal dalam hutan ada 22 lagi spesies. Kalau kita tidak simpan sekarang, satu hari nanti mungkin spesies ini hilang terus. Ada yang mempunyai rasa, aroma dan tekstur unik yang tidak terdapat pada durian komersial,” katanya ketika ditemui di Calanthe Dreamland, di sini, baru-baru ini.
Kim Chew atau lebih dikenali sebagai Joe berkata,setakat ini dia berjaya mengumpulkan 11 spesies durian iaitu durio zibethinus, durio graveolens, durio kutejensis, durio dulcis, durio oxleyanus, durio lowianus, durio malaccensis dan beberapa spesies lain.
Menurutnya, daripada 11 spesies tersebut, dia kini sudah mempunyai lebih 100 pokok pelbagai durian hutan di kebunnya itu.














