GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Pos Belatim di sini, terpaksa menanggung kerugian apabila hasil tanaman yang diusahakan mereka dimusnahkan secara berulang oleh kawanan gajah sejak empat tahun lalu.
Dalam kejadian terbaharu, tujuh pekebun di Kampung Belatim A, Belatim B dan Belatim C berputih mata apabila kebun mereka diceroboh enam ekor gajah liar yang memusnahkan tanaman ubi kayu, pisang, anak getah dan anak sawit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Belatim, Roireng Ngah berkata, gangguan gajah itu bukan lagi perkara baharu kerana penduduk sudah berdepan masalah tersebut sejak empat tahun lalu.
“Semua tanaman termasuk anak getah dan sawit dimusnahkan sehingga kami mengalami banyak kerugian.
“Kami terkilan apabila pokok pisang dan ubi kayu yang sudah mengeluarkan hasil dan hanya menunggu masa untuk dituai turut dirosakkan. Inilah hasil tanaman yang menjadi sumber makanan dan pendapatan kami,” katanya di sini semalam.
Roireng berkata, selain kerugian akibat tanaman dimusnahkan, penduduk juga melahirkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan mereka.
Katanya, dia bersama beberapa penduduk yang terjejas telah membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada Khamis lalu dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar itu.
“Kami dapati jumlah gajah semakin bertambah sehingga ada yang berani memasuki kawasan penempatan penduduk.
“Justeru kami berharap pihak berkuasa dapat mencari penyelesaian jangka panjang kerana masalah ini sudah berlarutan terlalu lama. Penduduk bukan sahaja kehilangan hasil tanaman, malah hidup dalam ketakutan setiap kali gajah memasuki kampung,” katanya.














