fbpx
ABBAS(kiri) bercakap dengan Badr semasa pertemuan mereka di Geneva semalam. – AFP

Rundingan Iran-Amerika capai ‘kemajuan signifikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENEVA – Iran dan Amerika Syarikat (AS) mencapai ‘kemajuan signifikan’ dalam pertemuan di Switzerland semalam, kata perantara selepas pusingan rundingan terkini untuk mengelakkan perang antara dua seteru lama itu.

Rundingan dihoskan Oman itu berlangsung selepas Presiden Donald Trump berulang kali mengancam untuk menyerang Iran, dengan beliau memberi masa 15 hari kepada Tehran untuk mencapai perjanjian.

Walaupun Iran bertegas perbincangan hanya tertumpu kepada program nuklearnya, AS turut mendesak Tehran untuk menghentikan program peluru berpandu dan sokongan kepada kumpulan-kumpulan bersenjata di Asia Barat.

Menteri Luar Abbas Araghchi memberitahu televisyen Iran bahawa rundingan itu ‘mencapai kemajuan sangat baik dan memasuki elemen perjanjian dengan sangat serius, baik dalam bidang nuklear mahupun sekatan’.

Beliau berkata, pusingan seterusnya akan diadakan dalam masa ‘mungkin kurang seminggu’, dengan perbincangan teknikal di agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Isnin ini.

Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi juga mengumumkan perbincangan teknikal akan diadakan pada minggu depan di Vienna.

“Rundingan kami berakhir dengan kemajuan signifikan dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran,” katanya dalam hantaran di laman X.

Perkembangan itu berlaku ketika Washington meneruskan penempatan tentera terbesarnya di rantau Asia Barat dalam tempoh beberapa dekad.

Ketua nuklear PBB, Rafael Grossi turut sama dalam rundingan tersebut.

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan semalam bahawa pasukan perunding Trump menuntut Iran merobohkan tiga tapak nuklear utamanya dan menyerahkan semua uranium diperkaya yang ada  kepada Amerika Syarikat. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI