fbpx
Warga MPKj dan pelanggan diarahkan berada di tempat selamat susulan gempa bumi tengahari tadi. - FOTO MPKj

Tiada kerosakan kritikal, operasi Menara MPKj kembali pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Operasi di Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kembali berjalan seperti biasa selepas pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan tiada sebarang kerosakan kritikal pada bangunan susulan kejadian gegaran yang berlaku tengah hari tadi.

MPKj dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku pada pukul 12.21 tengah hari sebelum tindakan pengosongan bangunan dilaksanakan oleh Pasukan Respons Kecemasan (Emergency Response Team, ERT) sebagai langkah keselamatan.

Menurutnya, pemeriksaan secara visual kemudian dijalankan oleh JBPM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan bangunan berada dalam keadaan selamat.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kerosakan kritikal yang dikenal pasti.

“Selain itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan keadaan di Menara MPKj adalah terkawal serta selamat,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, warga kerja serta pelanggan dibenarkan memasuki semula bangunan Menara MPKj bermula pukul 2 petang tadi selepas mendapat pengesahan daripada pihak bomba.

Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa bangunan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan mengalami gegaran susulan gempa bumi yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia, hari ini. 

Antara lokasi yang terkesan ialah bangunan MPKj, INTI College Subang Jaya dan sebuah bangunan di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi melaporkan kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada pukul 12.18 tengah hari. 

Gempa itu berpusat kira-kira 55 kilometer barat daya Langsa pada kedalaman 10 kilometer dan gegarannya turut dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN