PETALING JAYA – Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 dikesan berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada pukul 1.17 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur, kira-kira 20 kilometer (km) barat daya Batu Pahat pada kedalaman 10 km.
Menurut MetMalaysia, gegaran lemah akibat gempa bumi berkenaan berkemungkinan dapat dirasai penduduk di sekitar kawasan Batu Pahat.
“Jabatan Meteorologi akan terus memantau keadaan ini dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.
Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi tersebut diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan MetMalaysia bagi membantu proses pemantauan dan pengumpulan maklumat.
Sementara itu, tinjauan di media sosial, beberapa penduduk kawasan sekitar berkongsi pengalaman merasai gegaran sehingga ada yang tersedar dari tidur.
”Tengah tidur tetiba rasa pening sekitar pukul 1 lebih pagi tadi. Pagi ini bangun baru perasan WhatsApp group (kumpulan) kecoh kata berlaku gempa bumi area (kawasan) Batu Pahat,” kata Syamsudin. – KOSMO! ONLINE.














