LOS ANGELES – Belgium tidak menganggap kegagalan meraih kemenangan pada aksi pertama selepas terikat 1-1 menentang Mesir sebagai isu besar yang mampu meranapkan peluang mereka untuk mara.
Skuad kendalian Rudi Garcia itu bakal turun pada aksi kedua menentang Iran dengan misi wajib menang walau apa cara sekali pun untuk memastikan mereka berada pada kedudukan selepas sebelum aksi terakhir menentang New Zealand.
“Kami perlu kembali meletakkan fokus pasukan pada kedudukan yang tepat untuk mendapatkan kemenangan. Kami tidak ada pilihan pada aksi menentang Iran, mesti menang,” kata Garcia.
Bagaimanapun, pengendali dari Perancis itu mungkin perlu melakukan beberapa perubahan termasuk menukar gandingan di bek tengah apabila Thomas Munier dan Timothy Castagne dilihat tidak begitu efisien.
Kedua-dua pemain itu gagal untuk membantu jentera serangan dan mereka juga sering dilihat terperangkap dengan serangan balas pantas Mesir pada aksi sebelum ini menyebabkan gawang Belgium dalam risiko.
Selain itu, Garcia juga digesa menggugurkan khidmat Leandro Trossard yang tidak berjaya memainkan peranan untuk membantu Jeremy Doku dalam mencipta gerak ataupun hantaran yang berbahaya ke kubu lawan.
Namun, keputusan yang paling berat perlu dilakukan oleh Garcia pastinya dalam pemilihan penggempur utama, sama ada terus kekal menggunakan khidmat Romelu Lukaku atau memberi peluang kepada Matias Fernandez-Pardo.
Situasi Lukaku yang belum mencapai tahap kecergasan terbaik mungkin memberikan risiko buat Belgium ketika dia perlu mencari jalan untuk merobek gawang Iran, malah penyerang itu sudah dianggap berada pada hujung kegemilangan untuk terus menjadi sandaran pasukan. – AGENSI














