Saat berada di Arafah untuk berwukuf merupakan salah satu kesempatan yang digunakan Zulkifli bagi mendekati dan bertanyakan keadaan para jemaah haji.

TH, jemaah haji Malaysia disegani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGANUGERAHAN Labbaitum – Diamond Award iaitu anugerah tertinggi yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Tabung Haji (TH) menjadi bukti kukuh kepada keupayaan Malaysia dalam pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik dunia.

Dalam konteks ini, kejayaan TH merangkul Anugerah Labbaitum seba­nyak lima kali termasuk dua kali Diamond Award dilihat bukan bersandarkan pe­ngurusan terbaik TH semata-mata, sebaliknya akhlak murni jemaah Malaysia turut menyumbang kepada kejayaan itu.

Jika diimbas, akhlak terbaik ditampilkan jemaah Ma­laysia bukan sahaja me­nuai pujian rakyat, malah komuniti antarabangsa turut memberikan reaksi positif khususnya dalam aspek kebersihan di kawasan Masyair dan penginapan mereka.

Susulan kejayaan itu, Malaysia berharap agar Arab Saudi mempertimbangkan untuk memberikan kuota tambahan pada musim depan, seterusnya membolehkan lebih ramai jemaah Malaysia diberikan peluang menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Ridzauddin Roslan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bagi mengupas mengenai kejayaan pengurusan TH pada musim haji kali hingga menjadi rujukan global.

KOSMO! AHAD: TH terus mencatat kejayaan dalam pengurusan haji apabila menerima pengiktirafan daripada Arab Saudi. Boleh kongsikan pandangan mengenai penca­paian konsisten ini?
ZULKIFLI: Pertamanya, kita ingin zahirkan uca­pan tahniah kepada ke­rajaan Malaysia dan TH ke­­rana mendapat anugerah tertinggi iaitu sebagai pe­ngurusan haji terbaik dunia.
Tahun ini, persaingan sa­ngat sengit melibatkan audit oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Mereka datang ke penginapan dan khemah untuk mengaudit semuanya termasuk disiplin ditampilkan jemaah negara.

Dalam konteks ini, kejayaan di­capai hasil daripada usaha ber­sepadu digerakkan TH de­ngan agensi terlibat termasuk Ke­menterian Kesihatan, Jabatan Imigre­sen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Malaysia Airports Holding Berhad dan syarikat korporat lain.

Kejayaan ini menyeluruh ke­rana persiapan bermula dari awal termasuk pelaksanaan kursus, pe­nerbangan, sajian makanan dan sehingga jemaah pulang semula ke tanah air. Semuanya berjalan lancar, Alhamdulillah.

Adakah sikap ditonjolkan je­maah Malaysia sepanjang mu­sim haji di Tanah Suci turut menyumbang kepada keja­yaan itu?
Betul, sikap dan akhlak terpuji ditampilkan jemaah Malaysia ketika berada di Tanah Suci turut menjadi antara faktor utama kepada kejayaan ini.

Apa saya dapat katakan, jemaah negara telah menunjukkan teladan yang sangat baik kepada seluruh dunia.

Dalam kalangan hampir dua juta jemaah haji di sana, kita boleh lihat rakyat Malaysia sering menerima pujian kerana disiplin yang sangat tinggi, akhlak baik selain sentiasa mengikut peraturan serta menjaga kebersihan.

Selain itu, TH juga ada me­lancarkan kempen Haji Lestari termasuk menyediakan tong-tong kepada jemaah untuk mereka kitar semula kain ihram dan sebagainya, sekali gus kekal menjaga kebersihan di khemah masing-masing.

Sebahagian petugas TH yang menyantuni jemaah haji tahun ini bergambar kenangan bersama Zulkifli (berdiri, tengah) ketika berada di Maktab al-Janadriyah, Mekah.

Adakah sikap baik ditunjukkan jemaah setiap tahun membolehkan pengiktirafan tertinggi Arab Saudi kekal menjadi milik Malaysia tahun berikutnya?
Pada musim haji, persaingan sa­ngatlah sengit kerana negara-negara lain sudah mula memaha­mi akan kepentingan anugerah dan pengiktirafan berkenaan ke­rana ia mencipta jenama kepada sesebuah negara.

Jadi, jemaah Malaysia dan TH sudah menjadi ‘jenama’ yang berada dalam liga tersendiri.

Sudah pasti pada tahun depan persaingan akan menjadi lebih sengit kerana beberapa negara sudah mula melakukan pembaharuan dan ada yang datang untuk belajar daripada Malaysia.

Bagaimanapun, apa saya boleh kongsikan, meskipun penerba­ngan pulang belum selesai, tetapi kita sudah menjalankan ‘post-mortem’ dalam pelbagai aspek termasuk perkhidmatan kepada jemaah, penginapan, penerba­ngan, sajian serta kursus-kursus haji yang dilaksanakan.

Selain itu, kita juga menggunakan aplikasi yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti e-TAIB.

Teknologi itu membolehkan jemaah mendapatkan jawapan secara real-time berhubung persoalan mengenai ibadah haji.

Aplikasi berkenaan juga dipantau oleh pembimbing dan pakar rujuk syariah bagi memastikan maklumat di­sampaikan adalah tepat dan berautoriti.

Jika kita lihat, petugas haji antara ‘hero utama’ kepada para Duyufurrahman, jadi boleh kongsikan antara cabaran dihadapi mereka?
Saya bersama-sama de­ngan petugas haji bersama-sama menghadiri kursus sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Saya juga melihat sendiri ba­gaimana satu kerja berpasukan walaupun berbeza agensi berjaya membentuk satu sema­ngat untuk bersama-sama membantu setiap jemaah.

Kita ada perkhidmatan ‘Semut Hitam’ iaitu peronda khas TH yang memberi bantuan lapangan bagi membantu jemaah haji Malaysia di sekitar Masjidil Haram.

Pasukan itu menjadi antara petugas terawal yang memberikan bantuan kepada jemaah yang tersasar, keliru arah, terpisah da­ripada kumpulan atau memerlukan bantuan segera.

Mereka terdiri daripada 15 ang­gota yang ditempatkan di enam pos strategik sekitar Masji­dil Haram termasuk kawasan bas.

Antara cabaran utama yang dihadapi petugas kita ialah mereka perlu berhadapan de­ngan polisi sentiasa berubah memandangkan setiap musim haji ada pengenalan kepada peraturan baharu.

Mereka perlu beradaptasi dan bersedia menangani perubahan berkenaan. Cabaran kedua ialah bagaimana petugas mahu me­nyantuni lebih 31,600 jemaah. Ja­di, ia agak mencabar, namun di­se­babkan disiplin tinggi jemaah, urusan berkenaan dapat dipermudahkan.

Zulkifli memaklumkan kerajaan sentiasa memohon untuk menambah kuota jemaah haji setiap tahun daripada Arab Saudi.

Sebelum ini, kuota haji Malaysia ialah seramai 31,600 jemaah. Adakah ada perancangan untuk terus memohon kepada pertambahan kuota?
Sebenarnya, negara kita memang memohon untuk mendapatkan kuota tambahan, namun ia ialah kuasa mutlak Arab Saudi.

Kita memahami bahawa untuk mengawal jemaah yang jumlah­nya mencecah jutaan orang pada satu-satu masa bukan perkara mudah, Arab Saudi melihat pelbagai aspek seperti keselamatan dan sebagainya.

Pun begitu, apa saya dapat jelaskan, anugerah Labbaitum-Diamond Award mungkin memberi sedikit kelebihan kepada kita apabila menunjukkan keyakinan negara itu terhadap Malaysia te­rus meningkat.

Jika dilihat, banyak manfaat sudah dimiliki Malaysia terma­suk Mekah Route iaitu dapat menyelesaikan urusan imigresen di Malaysia dan terus ke hotel setibanya di Arab Saudi.

Kita juga dapat menikmati inisiatif Arab Saudi iaitu ‘Hajj Without Luggage’ dengan bagasi jemaah terus berada di hadapan bilik hotel.
Saya melihat sangat positif (pertambahan kuota).

Bagaimana pula dengan rayuan haji, boleh kongsikan sedikit pandangan mengenai itu?

Kalau kita lihat bilangan rak­yat yang menunggu giliran untuk menunaikan haji ialah sangat ramai.

Secara dasarnya, setiap tahun kita ada kuota sekitar 31,600 dan yang merayu untuk ke sana ialah sekitar 80,000.

Jadi, TH sudah pun memba­ngunkan pendekatan berdasarkan merit dengan mengambil kira beberapa faktor untuk mendengar rayuan atau mengutamakan kepada rayuan terbabit.

Alhamdulillah, ia telah dilak­sanakan dengan sebaiknya. Na­mun begitu, kalau dilihat kepada aspek berkenaan, kita me­rasakan bahawa jemaah haji te­lah mengetahui tentang nombor giliran mereka dan ingin menasihatkan mereka supaya terus bersedia sebelum menerima panggilan un­tuk menunaikan ibadah itu daripada TH.

Sebagai contoh, jika giliran lagi dua tahun, bakal jemaah perlu mula menjaga kesihatan selain memastikan aspek-aspek lain terus diberi keutamaan terma­suklah berkaitan kewangan.

TH juga biasanya akan maklumkan lebih awal dan apabila nama telah disenaraikan, mereka boleh pergi.

Jadi, tidak perlu menangguh­nya lagi. Jika dilihat, apa yang ber­laku pada tahun lalu, lebih 50 peratus telah menangguh untuk menunaikan haji. Tetapi, jumlahnya pada tahun ini hanya sekitar 18 peratus sahaja.

Boleh kongsikan ucapan peng­hargaan kepada jemaah ha­ji Malaysia ekoran akhlak mur­ni dipamerkan mereka ke­ada dunia ketika di Tanah Suci?

Semasa di Tanah Suci, saya me­mang menggunakan sepenuh masa untuk bertemu dengan se­tiap jemaah di maktab untuk be­ramah mesra dan bertanya kha­bar mereka.

Ketika ini, saya melihat sendiri bagaimana akhlak, adab dan di­siplin yang ditunjukkan jemaah haji Malaysia.

Jadi, saya ingin zahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang telah membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia boleh menjadi ‘role model’ kepada umat Islam antarabangsa.

Ketika di Masyair, mereka te­lah menjaga kebersihan de­ngan baik selain menyusun atur ke­lengkapan dan meninggalkan khe­mah dalam keadaan yang be­gi­tu baik sekali.

Sikap itu telah mendapat pujian ramai, malah ada yang turut membandingkan dengan khemah yang didiami jemaah negara lain.

Selain itu, apabila di penginapan, kita juga sentiasa menjaga kebersihan selain sentiasa mengikut peraturan serta men­dengar nasihat termasuk apabila dimaklumkan mengenai cuaca pa­nas.

Pada masa sama, saya juga menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan petugas haji yang bekerja keras bagi memastikan kelancaran setiap jemaah Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN