TORONTO – Penyerang Jerman, Deniz Undav menjadi wira pasukan itu apabila dua jaringan yang dilakukan membantu mereka menang 2-1 ke atas Ivory Coast pada aksi Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Stadium Toronto awal pagi tadi.
Lebih manis, kemenangan itu juga memastikan skuad kendalian Julian Nageslmann mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati apabila sudah mengumpul enam mata untuk menerajui saingan peringkat kumpulan.
Pada perlawanan itu, Ivory Coast terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Franck Kessie di minit ke-30 sebelum Undav meledak dua jaringan di separuh masa kedua dengan gol kemenangan hadir dalam waktu kecederaan.
Juara dunia empat kali itu kembali berada dalam pusingan kalah mati memandangkan dua edisi sebelum ini di Rusia dan Qatar menyaksikan mereka sekadar menamatkan kempen Piala Dunia di peringkat kumpulan.
Jerman yang turun sebagai pasukan pilihan menunjukkan aksi cukup dominan apabila menguasai 55 peratus permainan selain melakukan 16 percubaan sepanjang 90 minit perlawanan berbanding sembilan dilakukan Ivory Coast.
Selepas ini, skuad Die Mannschaft itu akan berdepan Ecuador pada 26 Jun nanti bagi aksi terakhir peringkat kumpulan manakala Ivory Coast bertemu Curacao. – AGENSI














