fbpx
ANTARA premis yang dipercayai dikendalikan warga asing di kawasan perniagaan di Batu Tiga di Klang.

Warga asing jadi tauke lepas nikah wanita tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Sebahagian warga asing sanggup berkahwin dengan wanita tempatan biarpun le­bih berusia sebagai strategi mudah untuk mendapatkan lesen perniagaan sebelum mengembangkan empayar bisnes mereka di negara ini.

Modus operandi itu menjadi cabaran kepada pihak berkuasa apabila warga asing terbabit berselindung di sebalik nama dan lesen perniagaan milik isteri tempatan mereka, menyebabkan tindakan pengesanan serta penguatkuasaan sukar dilaksanakan.

Wanita yang telah berusia pula dipercayai mudah terpikat ke­rana faktor kesunyian, keinginan mendapatkan teman hidup dan sikap penyayang warga a­sing yang berjaya meraih kepercayaan mereka.

Perkara itu diakui Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd. Hamid Hussain yang menyifatkan trend berkahwin dengan warga tempatan kini semakin ketara.

Katanya, berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan, lesen perniagaan hanya boleh diberikan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Pengalaman kita di MBDK, memang tidak dapat dinafikan terdapat premis yang sebenar­nya dikendalikan warga asing secara tidak sah walaupun lesen didaftarkan atas nama warga tempatan.

“Bagi premis termasuk 2,000 gerai milik MBDK memang tidak dikeluarkan atau disewakan kepada warga asing.

“Kalau lihat perundangan, memang lesen tempatan, cuma sekarang isunya apabila trend berkahwin dengan warga tempatan termasuk mereka yang telah berusia.

“Kita cuma perlu diperkemaskan lagi buat semakan dan siasatan. Kita tidak nafikan itu adalah masalah dihadapi sekarang,” katanya ketika ditemui pada Program Cintai Sungai Di Klang di sini semalam.

Abd. Hamid berkata, selain berkahwin dengan warga tempatan, amalan ‘lesen ‘ali baba’ juga dipercayai semakin menjadi-jadi.

Katanya, terdapat warga a­sing dikesan menggunakan nama rakyat tempatan untuk mendapatkan lesen perniagaan sebelum menguasai sepenuhnya operasi premis itu.

Ditanya mengenai keperluan pindaan undang-undang, beliau berkata, tindakan tegas boleh diambil terhadap premis di bawah kendalian majlis, namun bagi premis swasta, ia bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang kecil sedia ada.

“Kita akan perkemaskan undang-undang kecil supaya tindakan lebih tegas boleh diambil sekiranya premis itu diusahakan warga asing,” katanya.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan sentiasa dijalankan termasuk di Kompleks Pasar Meru yang menyaksikan lebih 500 individu diperiksa sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau me­ngakui terdapat kekangan melibatkan kelompok tertentu terutamanya pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Memang ada aktif khusus­nya berniaga dan kerja di pasar. Mereka tiada payslip dan tolak troli. Siapa yang mahu ambil upah mereka, mereka bayar upah harian.

“Jadi, tiada majikan dan hendak tangkap siapa pun tidak boleh. Bila operasi dibuat, kita serah kepada Imigresen kerana ia di luar bidang kuasa pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Dalam tempoh lima bulan tahun ini, MBDK merekodkan 226 premis dikendalikan warga asing disita, selain 48 kes penjaja asing turut diambil tindakan.

Sementara itu, pada tahun lalu, sebanyak 515 sitaan direkodkan melibatkan premis warga a­sing, manakala 141 kes membabitkan penjaja asing.

“Pada 2024 pula, sebanyak 515 sitaan premis melibatkan warga asing serta 141 penjaja,” ujarnya.

Menurutnya, setakat ini empat lesen perniagaan telah dibatalkan membabitkan premis yang dikenal pasti melanggar syarat.

“Kita tidak teragak-agak membatalkan lesen serta menyita barang niaga. Isunya ialah bagaimana warga asing ini boleh menguasai operasi di negara kita,” katanya.

Tegasnya, terdapat 21,480 lesen perniagaan di Klang melibatkan pelbagai sektor, sekali gus menjadikan pemantauan menyeluruh satu cabaran besar kepada pihak penguat kuasa.

“Bagi penjaja dan gerai milik MBDK, kita boleh capai Indeks Prestasi Utama (KPI) sifar peniaga asing.

“Untuk premis perniagaan, kita lihat statistik dulu dan tidak dapat beri jaminan kerana dalam kilang sekalipun, warga asing begitu ramai,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kewujudan ratusan premis perniagaan yang diusahakan warga asing di beberapa bandar utama di negara ini makin berleluasa dan diusahakan dengan berani di kawasan terbuka dan tempat tumpuan ramai.

Fenomena itu memberi kesan kepada peniaga tempatan dalam pelbagai sektor termasuk peruncitan dan restoran menyebabkan mereka tidak dapat bersaing sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

Di Klang khususnya di pusat bandar di Batu Tiga, ‘wajah’ perniagaan orang tempatan dikatakan makin ‘terhakis’ kerana didominasi warga asing termasuk operasi bahagian hadapan seperti juruwang atau penjaga kaunter.

Situasi itu tidak lagi tertumpu kepada sektor tertentu, sebalik­nya melibatkan pelbagai premis termasuk kedai runcit, restoran, dan kedai serbaneka yang didakwa hampir sepenuhnya digerakkan oleh tenaga kerja asing. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN