DALAM era penstriman digital yang menawarkan akses pantas kepada jutaan lagu, minat terhadap koleksi piring hitam sebenarnya masih kekal relevan dan terus mendapat tempat dalam kalangan pencinta muzik.
Selepas melalui era piring hitam, kaset, cakera padat dan kini era digital, siapa sangka piring hitam sebenarnya tidak pernah mati jika dibandingkan medium lain seperti kaset.
Bagi penggemar piring hitam atau vinyl, pengalaman mendengar muzik bukan sekadar menikmati melodi, sebaliknya satu ritual menggabungkan elemen nostalgia, apresiasi seni dan kualiti bunyi yang unik.
Bagi seorang anak muda berusia 29 tahun, Zati Syazwina Jamil, kisah ‘cinta’ antaranya dengan piring hitam sudah lama tersemat dalam diri kerana dipengaruhi oleh minat bapa dan arwah datuknya.
Arwah datuknya banyak mengumpul piring hitam jenis piring single (SP).Ritma lagu klasik nyanyian kumpulan legenda dunia, The Beatles dan karya malar segar Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee menjadi antara koleksi peribadi arwah datuk.
“Sejak kecil lagi saya memasang niat untuk mengumpul piring hitam sebab arwah datuk banyak mengumpul SP yang tujuh inci.
“Ayah juga mempunyai sebuah peti nyanyi antik (phonograph) yang menjadi inspirasi untuk memulakan koleksi piring hitam saya sendiri dan saya merasakan ini sebagai hobi yang sangat cool,” katanya kepada CitaRasa.

Tahun 2017 menjadi momen penting buat wanita yang mesra disapa sebagai Zati itu apabila berpeluang mengumpul piring hitam sendiri tatkala melanjutkan pelajaran dalam jurusan seni bina di Universiti John Moores, Liverpool, United Kingdom (UK).
Piring hitam pertama yang dibeli di rangkaian kedai muzik popular di UK, HMV iaitu album I Like It When You Sleep, for You Are So Beautiful Yet So Unaware of It nyanyian kumpulan asal British, The 1975.
“Ada juga yang saya dapatkan album terpakai sekitar kedai di UK, kedai muzik dan dalam talian seperti Amazon atau laman rasmi artis berkenaan.
“Jika di Malaysia, saya selalu dapatkan di kedai dalam talian seperti Instagram atau Carousell dan kedai fizikal,” katanya yang kini mempunyai sekitar 153 koleksi piring hitam.
Hobi piring hitam masa kini tidak sekadar mendengar lagu, bahkan juga meliputi mengumpul dan mengunjungi kafe piring hitam.
Jika dahulu piring hitam dimainkan pada peralatan seperti phonograph atau gramofon, kini orang ramai masih boleh mendapatkan pemutar piring hitam atau turntable meliputi beberapa jenis yang dijual di pasaran.
Demi mendapatkan kualiti audio, pemilihan turntable yang berkualiti sangat penting. Hal ini kerana kualiti komponen turntable memberi kesan langsung kepada jangka hayat piring hitam dan kualiti bunyi.
Menurut Zati, turntable jenama Audio Technica, model AT-LP60XBT antara yang terbaik khususnya buat golongan pemula kerana mudah dikendalikan selain tidak memerlukan banyak pelarasan teknikal.
“Mereka yang pakar ada menasihati saya agar tidak beli turntable yang berbentuk briefcase (beg bimbit) kerana dikhuatiri akan menyebabkan calar dan merosakkan piring hitam serta tidak mainkan lagu dengan lancar.
“Audio Technica AT-LP60XBT merupakan turntable sistem pemacu tali sawat automatik yang direka untuk memudahkan pengguna mendengar muzik piring hitam tanpa penyediaan yang rumit.
“Alat ini tidak dilengkapi dengan pembesar suara, jadi saya gunakan pembesar suara yang boleh dihubungkan menggunakan Bluetooth jenis Audioengine A5+,” ujarnya yang sesekali akan mengunjungi kafe bertemakan piring hitam untuk menikmati pengalaman muzik.

Selesa memilih elemen muzik analog, Zati mengakui sistem audio piring hitam lebih ‘sedap’ berbanding mendengar lagu menerusi platform penstriman atau audio digital.
Bunyi yang dihasilkan secara analog kedengaran lebih lancar berbanding digital, selain gaya muzik klasik itu mampu hasilkan gangguan bunyi semula jadi yang dipanggil harmonic distortion.
“Kadangkala ada bunyi yang kita tidak dengar apabila lagu itu dimainkan secara digital tetapi bunyi tambahan itu dapat kedengaran jelas sekiranya dimainkan secara piring hitam.
“Ada juga artis yang meletakkan versi tambahan di piring hitam yang tidak ada di platform penstriman sekali gus membuatkan audio di piring hitam lebih eksklusif,” katanya.
Album AR nyanyian Addison Rae, The Rise & Fall Of a Midwest Princess (Chappell Roan) dan Decide (Djo) menjadi antara koleksi LP kesayangan Zati termasuk Dua Lipa (self-titled) Edisi Penuh, 2018 yang dahulunya dibeli pada harga £40 (RM210), namun kini mempunyai nilai tambah sehingga mampu mencecah AS$517 (RM2,100).
Memiliki kecintaan yang sama. Muhammad Razin Mohd, 32, tidak lokek membelanjakan sekitar RM150 hingga RM300 untuk mendapatkan sebuah piring hitam jenis long play (LP).
Mula mengumpul LP sejak 2021, minatnya mula timbul selepas melihat rakannya memiliki turntable. Didorong dengan rasa ingin memiliki, Razin kemudian menghadiahkan buat dirinya sendiri sebuah turntable bersama album pertama Planet Her (Doja Cat).
Gemar mendapatkan album secara dalam talian, Razin menggunakan turntable jenis Audio Technica AT-LP120XUSB pacuan terus dengan USB selain dirinya memiliki 236 koleksi LP.
“Tidak mengira sama ada album baharu atau vintaj, kedua-duanya saya minat. Ada juga rakan-rakan meminta nasihat dalam soal pemilihan turntable yang bersesuaian,” katanya sekali gus tersirat bahawa ramai yang mula berminat.
Tambahnya, media sosial secara tidak langsung memainkan peranan dalam perkembangan minat terhadap budaya mengumpul piring hitam masa kini.
“Selain media sosial, kumpulan peminat dan komuniti piring hitam juga memainkan peranan dalam menyebarkan pengetahuan serta minat.
“Setiap tahun akan ada Record Stores Day dan Record Stores Day Black Friday di mana pada waktu ini artis akan mengeluarkan piring hitam edisi terhad,” ujarnya.
Seorang kakitangan sebuah kedai menjual piring hitam, Music Records 2u, Sharifah Al Habshee memberitahu, terdapat dua saiz LP yang popular dalam kalangan penggemar iaitu 12 inci (LP) dan tujuh inci (SP).
Setiap satu daripadanya mempunyai peminat tersendiri termasuk jenis dan corak pada permukaan LP seperti corak splatter, bergambar, berwarna, zoetrope atau berbentuk hati.
Lebih empat tahun bekerja di premis itu, Sharifah mengakui ramai pelanggan tanpa mengira usia sama ada tua atau muda pasti akan mempamerkan reaksi teruja saat berkunjung ke situ.
“Kalau diikutkan, piring hitam ini sangat popular tahun 1950-an dan popular sehingga 1980-an sebelum peralihan kepada kaset, CD dan sekarang digital.
“Ada antara remaja dan kanak-kanak teruja melihat piring hitam yang masih boleh didapati dengan mudah pada masa kini kerana tidak menyangka piring hitam masih mampu bertahan sehingga sekarang.
“Pernah juga ada warga emas yang datang ke kedai berasa terharu kerana tidak menyangka masih boleh boleh melihat, memegang dan mendengar piring hitam yang mungkin suatu ketika dahulu pernah melewati zaman kegemilangan.
“Meskipun piring hitam ini boleh digayakan budaya lama, tapi ia mempunyai nilai klasik dan bersifat vintaj kerana mempunyai peminat serta pengikutnya tersendiri,” katanya.
Ditebak sama ada budaya piring hitam kini dianggap sebagai sebahagian daripada gaya hidup masa kini, Sharifah bagaimanapun menyifatkan ia sebagai minat yang tidak pernah luput ditelan dek zaman.
“Walaupun piring hitam ini boleh dikatakan old school tetapi tidak kira sama ada tua atau muda, peminatnya akan tetap ada dan setiap generasi itu akan mengikut perkembangan piring hitam.
Tidak dinafikan usaha selebriti antarabangsa yang terus menerbitkan karya piring hitam menjadi antara asbab mengapa budaya mengumpul piring hitam ini masih ada sehingga ke hari ini.
“Pada pandangan saya, budaya piring hitam ini bukan perkara baharu buat masyarakat luar negara khususnya negara Barat kerana kita boleh lihat gaya hidup sebegitu di filem, drama mahupun perkongsian artis itu di media sosial.
“Bahkan piring hitam ini juga sudah menjadi kebangkitan budaya di Amerika Syarikat dan tidak pelik jika masih ada artis masa kini yang masih menerbitkan karya secara piring hitam seperti Taylor Swift dan Billie Eilish,” ujarnya.
















