BENTONG – Anak kelahiran Pahang terus mendapat keistimewaan apabila Kerajaan Negeri meneruskan pemberian Permata Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kepada bayi yang dilahirkan di negeri ini tahun ini.
Dalam majlis pelancaran Permata Makmur 2026 di Felda Kampung Sertik hari ini, seramai 75 bayi di daerah ini menerima manfaat berupa sumbangan RM250 yang dimasukkan ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN Prime) sebagai simpanan awal pendidikan serta barangan keperluan bayi bernilai RM50.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, majlis pelancaran diadakan lebih awal tahun ini bagi memperhebatkan promosi supaya lebih ramai rakyat mengetahui dan menikmati manfaat yang disediakan kerajaan negeri.
“Tujuan kita buat awal-awal ini, macam saya kata tadi dalam ucapan, kita hendak mempromosi sebab saya tengok ramai lagi orang yang tidak nampak dan tidak tahu Permata Makmur ini.
“Dan kita pun dapat banyak aduan mengatakan mereka tidak mengetahui. Jadi salah satu tujuan (majlis pelancaran) itulah,”katanya yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik, di sini hari ini.
Menurutnya, bayi yang dilahirkan pada 2024 masih boleh mendapatkan manfaat inisiatif berkenaan dengan membuat pendaftaran di pejabat SSPN terdekat selain boleh mendapatkan sumbangan barangan keperluan bayi di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.
Selain itu katanya lagi, pendaftaran bagi bayi kelahiran tahun 2025 masih dibuka dan boleh dilakukan secara dalam talian manakala bagi bayi kelahiran tahun ini pula, pendaftaran akan dibuka bermula 9 Mac ini.
Sementara itu, beliau berkata, inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam membina masa depan generasi baharu Pahang.
“Jadi kita sebagai anak Pahang ini hendaklah bersyukur dengan apa yang kita ada dan saya selalu tegaskan bahawa sekiranya nak lagi, kita sokonglah kerajaan yang ada pada hari ini.
“Kekalkan, ini adalah semua daripada inisiatif Yang Amat Berhormat Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sejak menjadi Menteri Besar Pahang. Jadi kita sokong bagi kita memastikan benda ini akan ada seterusnya,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














