PETALING JAYA – Kerajaan digesa supaya kekal mempertahankan pelaksanaan inisiatif Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) dan tidak berkompromi terhadap keselamatan pekerja hanya kerana tekanan atau naratif yang tular di media sosial.
Presiden Uni Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pelaksanaan Lindung 24 Jam merupakan satu kemenangan besar kepada seluruh pekerja Malaysia serta reformasi penting dalam memperkukuhkan sistem perlindungan keselamatan sosial negara.
Katanya, perlindungan menyeluruh terhadap pekerja bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi tanggungjawab negara dan hak yang sewajarnya dinikmati oleh setiap pekerja.
“Kerajaan mesti kekal berpegang kepada prinsip perlindungan sosial yang berasaskan fakta, keperluan rakyat dan kepentingan negara, bukannya dipengaruhi oleh tekanan atau persepsi yang tidak disokong oleh bukti.
“Pelaksanaan Lindung 24 Jam bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya lahir daripada proses kajian, perbincangan dan pertimbangan dasar yang panjang bagi memastikan kebajikan pekerja terus diperkukuhkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, inisiatif itu juga berasaskan peruntukan undang-undang yang telah diluluskan Parlimen dan kini sedang dikuatkuasakan.
“Mengundur ke belakang selepas perlindungan ini berkuat kuasa bukan sahaja akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan sosial negara, malah memberi isyarat bahawa kebajikan pekerja boleh diketepikan apabila berdepan tekanan sentimen semasa,” ujarnya.
Mohamed Shafie berkata, sebelum pelaksanaan Lindung 24 Jam, ramai pekerja berdepan kesukaran apabila tuntutan akibat kemalangan ditolak kerana diklasifikasikan sebagai bukan bencana kerja sehingga terpaksa menanggung sendiri beban kewangan ketika berdepan musibah.
Katanya, pelaksanaan inisiatif itu berjaya merapatkan jurang perlindungan yang sekian lama wujud selain meningkatkan keyakinan tenaga kerja, memperkukuh produktiviti dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara mampan.
Semalam, media melaporkan kerajaan memutuskan caruman bagi Lindung 24 Jam bukan bersifat mandatori.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, sebaliknya caruman itu dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta. – KOSMO! ONLINE














