fbpx
WAN ROSDY ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka 2026 dan ulang tahun ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Tun Abdul Razak Jengka di Maran hari ini.

Pahang mohon wakil negeri sertai Lembaga Pengarah FGV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Kerajaan Pahang memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan supaya seorang wakil kerajaan negeri dilantik menganggotai Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad bagi memperkukuhkan kerjasama strategik serta menjaga kepentingan peneroka Felda.

Permohonan itu disuarakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Peneroka 2026 dan ulang tahun ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, pelantikan wakil kerajaan negeri itu wajar dipertimbangkan memandangkan Pahang merupakan antara pemegang saham FGV Holdings Berhad.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengemukakan satu perkara yang kami harap mendapat pertimbangan sebaik-baiknya daripada Perdana Menteri.

“Kami ingin memohon jasa baik Datuk Seri untuk mempertimbangkan pelantikan seorang wakil Kerajaan Negeri Pahang dalam Lembaga Pengarah FGV Holdings memandangkan Kerajaan Negeri Pahang merupakan pemegang saham FGV.

“Penyertaan wakil Kerajaan Negeri Pahang diyakini mampu memperkukuh penyelarasan dasar, mempererat kerjasama strategik serta memastikan kepentingan peneroka dan pembangunan negeri terus diberi perhatian secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sebagai wakil Kerajaan Negeri Pahang dalam Lembaga Felda.

Katanya, pelantikan tersebut mencerminkan hubungan erat serta semangat kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa agenda pembangunan Felda.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN