PUTRAJAYA – “Jangan pandang rendah terhadap keupayaaan institusi pengajian tinggi kita khususnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi membuat kenyataan itu sebagai memberi reaksi kepada kenyataan dibuat Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertikai kajian cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur oleh UIAM.
Menurutnya, beliau kesal dengan perkara itu kerana ada pihak yang mempertikai keupayaan UIAM untuk melakukan kajian ini.
“Bagi saya itu satu sikap yang tidak baiklah oleh ahli politik ini. Dia sepatutnya melihat UIAM sebagai satu institusi pendidikan yang mampu melakukan kajian. Jadi, itu bagi saya, dia tidak sepatutnya berkata begitu.
“Sangat tidak bertanggungjawab dan dia melihat ke bawah satu institusi yang sangat penting yang telah melahirkan ramai, bukan hanya pemimpin dalam negara kita, malah pemimpin di negara-negara lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, PN mempertikaikan pemilihan UIAM selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya bagi pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai cadangan pilihan raya itu, Fahmi menjelaskan, setakat ini belum ada apa-apa yang boleh dibentang kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan terutama berkaitan cadangan itu.
“Perkara (cadangan dan kajian) itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh telah memaklumkannya secara lisan.
“Belum ada hasil, jadi tidak boleh dibuat apa-apa keputusan. Diperingkat Jemaah Menteri pun tidak dibentangkan apa-apa jadi dia terlalu awal untuk kita bincang perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














