PUTRAJAYA- Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar diangkat sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026.
Sementara itu, pengasas Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Sheikh Dr. Ahmad al-Raysuni pula dipilih sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Antarabangsa
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Masjid Putra, di sini hari ini.
Dr. Osman, 80, berasal dari Chenor, Pahang dipilih berdasarkan jasa beliau sebagai tokoh pemikir Islam dan akademik serta kepakarannya dalam penulisan Islam, sains dan tamadun.
Sementara itu, Dr. Ahmad yang berasal dari Maghribi pula dipilih atas jasanya sebagai pakar rujuk antarabangsa dalam bidang Maqasid Syariah.
Dr. Osman ketika ditemui berkata, beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai amanah untuk terus menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam di negara ini.
“Saya berada dalam dunia akademik selama lima dekad termasuk sebagai penyelidik, profesor madya, profesor penuh dan profesor emeritus di institusi pengajian tinggi dalam serta luar negara.
“Perjalanan tersebut dianggap sebagai satu bentuk jihad ilmu yang bertujuan mempertahankan kebenaran, mengembangkan ilmu yang sahih serta menangkis penyebaran ilmu yang tidak berasaskan kebenaran.
“Saya menganggap kehidupan saya sebagai jihad dalam bidang ilmu pengetahuan. Jihad untuk mempertahankan ilmu yang benar dan melawan ilmu yang palsu,” katanya.
Katanya, beliau bersedia untuk terus menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan negara serta membimbing generasi baharu akademik agar meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan kebenaran, integriti dan kemaslahatan masyarakat.
Sementara itu, Dr. Ahmad pula berkata, beliau menzahirkan rasa syukur kepada Allah serta penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas pengiktirafan yang diterima itu.
Menurutnya, beliau berbangga kerana Malaysia antara negara yang secara konsisten menganjurkan sambutan dan majlis seumpama itu bagi mengangkat syiar Islam serta menghargai sumbangan tokoh-tokoh yang berjasa kepada agama dan masyarakat.
“Pengiktirafan ini saya anggap sebagai penghargaan terhadap sumbangan saya kepada pembangunan Islam, khususnya dalam bidang dakwah, pemikiran, amal kemasyarakatan dan sosiopolitik sepanjang lebih 50 tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














