MUAR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mempelawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Maszlee Malik untuk mengadakan dialog secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 bagi membincangkan hala tuju negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, RTM bersedia menyediakan platform berkenaan pada bila-bila masa yang dipersetujui kedua-dua pemimpin terbabit, termasuk mencadangkan ia diadakan pada waktu perdana kira-kira pukul 9 malam.
Menurutnya, sekiranya istilah debat menjadi kekangan, program itu boleh diadakan dalam bentuk dialog yang lebih beradab dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak menjelaskan perancangan masing-masing kepada rakyat.
“Saya sedia menyediakan pentas di RTM TV1 untuk Dr. Maszlee (calon PH Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa) dan Datuk Onn Hafiz berdebat. Ataupun kalau tidak mahu berdebat, kita berdialog. Kita boleh berdialog dengan beradab.
“Kita letakkan masa 9 malam dan kita boleh pilih bila-bila masa, hari yang mana pun. Kita boleh mengusahakannya di Johor Bahru atau di mana-mana lokasi yang sesuai. Kita boleh namakan program itu sebagai Dialog Hala Tuju Negeri Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Makan Malam Amal di restoran di sini, malam ini.
Ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang berpandangan Pakatan Harapan (PH) perlu menamakan calon Menteri Besar Johor terlebih dahulu sebelum mendesak Onn Hafiz menyertai debat, beliau menyifatkan ia hanya cubaan untuk mengalihkan perhatian.
Katanya, sebagai individu yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar, Onn Hafiz seharusnya bersedia berdepan pelbagai pihak termasuk mereka yang mempunyai pandangan berbeza.
“Saya percaya Onn Hafiz dia tidak akan buat drama Hollywood. Saya percaya Onn Hafiz akan memberanikan diri untuk berdialog dengan Dr. Maszlee.
“Onn Hafiz saya tengok banyak benda dia tak beranilah. Dia tak berani untuk berdepan apabila dijemput dengan baik oleh Dr. Maszlee sehingga Dr. Maszlee membuka peluang kepada 41 anak muda untuk berdebat dengan beliau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














